Akar umbi PKR bimbang tiga penjuru dengan PAS
Iklan
WALAUPUN dua penggal menguasai Selangor, ahli akar umbi PKR bimbang permusuhan dengan PAS boleh menyebabkan negeri paling kaya di Malaysia itu terlepas dari tangan dan jatuh kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Jentera akar umbi PKR di Selangor berbelah bahagi tentang keputusan yang dicapai oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada Selasa untuk tidak bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Mereka yang ditemubual oleh The Malaysian Insight menghormati keputusan itu tetapi tidak menyembunyikan keresahan ia akan memberikan kesan kepada peluang PKR untuk mengekalkan prestasi dalam PRU14.
Harapan mereka kepada pucuk pimpinan parti di peringkat negeri hanya satu: teruskan usaha rundingan dengan PAS supaya pada pilihan raya umum nanti tidak berlaku pertandingan satu lawan satu.
“Di kawasan saya Sungai Besar, kalau tiga penjuru (PKR) confirm bungkus.
“Tengoklah pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar tempoh hari. Umno dan BN menang dalam pertembungan tiga penjuru,” kata Ketua PKR Cabang Sungai Besar Mohd Fauzi Ahmad kepada The Malaysian Insight.
Majlis Presiden PH pada lewat Isnin membuat keputusan menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PAS dan mengumumkan kesediaan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru pada PRU14 yang perlu diadakan sebelum Ogos 2018.
PH membuat keputusan ini ketika PKR sendiri bergolak menentukan pendirian selepas naib presidennya, Rafizi Ramli mendesak satu kongres khas diadakan bagi menentukan wajar atau tidak parti itu mengadakan kerjasama dengan PAS menuju PRU14.
Gesaan Rafizi itu mendapat dukungan lebih 50 cabang PKR yang sedang mengumpulkan sokongan untuk memaksa setiausaha agung parti mengadakan kongres khas tersebut.
Sehari selepas membuat gesaan itu, Rafizi secara terbuka menyelar biro politik PKR dan mendedahkan kepada umum pertikaiannya dengan timbalan presiden parti, Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor dan pengarah Pilihan Raya PH.
Azmin tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang menutup pintu kepada PAS.
Dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar pada Jun 2016, calon BN Budiman Mohd Zohdi daripada Umno menang besar dengan majoriti 9,191 undi mengalahkan calon Amanah, Azhar Ab Shukur dan PAS, Dr Abdul Rani Osman.
Budiman mendapat 16,800 undi berbanding Azhar 7,609 dan Dr Rani 6,902.
Berdasarkan kira-kira itu, sekiranya pertembungan satu lawan satu, walaupun BN masih menang, majoriti Budiman boleh jadi lebih kecil iaitu 2,289 undi.
Parlimen Sungai Besar adalah antara kerusi marginal dalam PRU13 apabila calon BN, Noriah Kasnon hanya menang tipis 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamad Salleh M Husin.
Berdasarkan rekod dua pilihan raya umum sebelumnya, PAS sebenarnya sudah berjaya mengecilkan majoriti kemenangan BN di kerusi itu, daripada 7,349 pada 2004 kepada 5,009 pada 2008.
Menurut Fauzi, jentera akar umbi PKR dan PAS di Sungai Besar masih lagi bekerjasama walaupun dua parti itu tidak lagi ada hubungan apa-apa di peringkat pusat, secara rasmi sejak Mei lalu.
“Di tempat yang PAS masih pegang jawatan lantikan negeri, mereka masih bantu ahli-ahli PKR.
“Saya sampai sekarang masih bekerjasama dengan akar umbi PAS. Masih ada lagi akar umbi PAS yang membantu program-program PKR.
“Sebab itu saya harapkan pucuk pimpinan PKR Selangor berusaha untuk memastikan satu lawan satu pada PRU14,” katanya.
Tiga penjuru berisiko tinggi
Setiausaha PKR Selangor Borhan Aman Shah pula mengingatkan PAS masih kuat terutamanya di kawasan luar bandar di Selangor dan kerjasama dengan parti Islam itu akan lebih menguntungkan PH.
Borhan mengambil contoh kawasan Parlimen Sepang, yang dimenangi oleh PAS pada PRU13. Ahli Parlimennya Mohamed Hanipa Maidin bagaimanapun kini sudah meninggalkan PAS dan menyertai Amanah.
“Di Selangor, Umno sendiri tahu, kalau PAS bekerjasama dengan PKR, mereka tidak akan mampu mengambil alih kerajaan negeri pada PRU14.
“Umno di bawah kepimpinan Noh Omar tidak akan mampu mendapat lebih daripada 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Borhan yang juga ketua Cabang PKR Sepang.
Pada PRU13, PAS berjaya memenangi 15 kerusi DUN di Selangor. Antara kerusi DUN luar bandar yang dikuasai oleh PAS ialah Tanjong Sepat, Morib, Sijangkang, Selat Klang, Meru, Dusun Tua dan Sabak.
PAS juga menang kerusi DUN yang boleh dianggap kawasan pinggir bandar seperti Taman Templer, Gombak Setia, Hulu Klang, Lembah Jaya, Chempaka, Bangi, Sri Serdang dan Paya Jaras.
Dua daripada kerusi DUN ini sekarang berpindah kepada Amanah iaitu Morib dan Hulu Klang.
PAS Selangor minggu lalu mengumumkan kesediaan bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu, termasuk yang dimenangi oleh Umno, PKR dan DAP pada PRU13.
Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata sikap PAS itu bukan kerana ia mahu bertanding tiga atau lebih penjuru tetapi sikap DAP dan Amanah yang terlebih dahulu mensasarkan kerusi PAS di negeri itu.
Bagi jentera PKR di akar umbi, pertembungan tiga penjuru itu sekiranya berlaku akan mendatangkan risiko tinggi kepada PH untuk menang negeri Selangor, serta menjejaskan prestasi dalam pilihan raya Parlimen.
“Sukar untuk menang, bukan tak boleh tetapi risikonya terlalu tinggi.
“Saya menghormati keputusan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menandatangani persetujuan PH tempoh hari.
“Tetapi pada masa sama, saya juga menghormati usaha timbalan presiden (Azmin) untuk memastikan pertembungan satu lawan satu pada PRU14 bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara,” katanya.
Jalan ke PRU14 kini jelas
Ketika ada jentera akar umbi PKR yang resah dengan keputusan pucuk pimpinan PH menutup pintu kerjasama dengan PAS, ada juga menarik nafas lega dan merasakan ia sepatutnya sudah dibuat sejak awal lagi.
“PAS yang putuskan hubungan dengan PKR. Bukan PKR yang putuskan.
“PAS juga dilihat semakin ‘mesra’ dengan Umno dan BN. Umno dan BN adalah musuh kita dalam politik.
“Sekiranya PAS bekerjasama dengan musuh politik kita, kita tidak harus lagi bekerjasama dengan mereka,” kata Naib Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Utara Fazly Razaly.
Fazly yang juga ahli Majlis Daerah Kuala Langat berkata, di peringkat akar umbi mereka mengikut sahaja arahan pucuk pimpinan pusat.
“Walaupun di Majlis Daerah Kuala Langat kami masih bekerjasama dengan PAS dalam mesyuarat, di peringkat parti sudah tiada lagi kerjasama.
“Itulah tatasusila berorganinasi, kita ikut sahaja arahan pimpinan,” katanya.
Bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali pula berpandangan, situasi terbaik ialah sekiranya pertembungan satu lawan satu antara parti-parti pembangkang dan BN.
“Tetapi ini nampak sulit untuk berlaku dengan PAS menutup pintu rundingan dan terus menghina PKR.
“Prestasi PKR mungkin akan terjejas dengan pertembungan tiga penjuru, tetapi saya rasa prestasi PAS akan lebih teruk terutamanya di kawasan campuran yang banyak bergantung kepada sokongan PKR dan DAP,” kata bekas ahli Dewan Negara selama dua penggal itu.
Syed Husin juga menafikan dakwaan PKR banyak bergantung kepada jentera PAS untuk menang dalam pilihan raya.
“Ini propaganda lapuk. Dalam dua PRU lalu, PKR membantu PAS untuk menang sama seperti PKR mendapatkan sokongan PAS untuk menang,” katanya.
Semalam mesyuarat Biro Politik PKR membuat keputusan untuk memperkukuhkan PH dan mengatur strategi untuk mengalahkan BN pada PRU14.
Bagaimanapun, isu kerjasama dengan PAS tidak dinyatakan dalam kenyataan satu perenggan itu. – 31 Ogos, 2017.