Iklan

Bung sedia kembalikan kegemilangan Umno Sabah

Jason Santos6 years ago1st Feb 2019Berita
Bung 5
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin sedia memikul tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan Umno di negeri itu.– Gambar Youtube, 1 Februari, 2019
Iklan

AHLI Parlimen kontroversi Bung Moktar Radin tidak pernah menjangka akan diberi tanggungjawab mengetuai Umno Sabah ketika parti itu berdepan pembelotan Disember lalu namun beliau menyedari beliau perlu memikul tanggungjawab itu.

Lebih sebulan selepas itu, semuanya dilihat kembali normal selepas banyak pemimpin utama meninggalkan parti, Bung kini memulakan semula usaha untuk mengembalikan kuasa Umno di negeri itu.

Beliau berkata, semangat mereka yang masih setia bersama parti memberi galakan kepadanya untuk memikul tanggungjawab sebagai pengerusi perhubungan Umno negeri.

“Pada mulanya ketika saya diberi tanggungjawab sebagai ketua perhubungan negeri, saya merasakan seolah-olah beban besar diletakkan di bahu saya.

“Namun akar umbi masih bersama Umno dan mereka gembira dan beritahu saya “kami di peringkat bawahan akan berjuang bersama kamu”.

“Itu membuatkan saya merasa lebih baik,” kata Bung kepada The Malaysian Insight.

Sering dilabel sebagai kurang ajar, ganas dan terkenal kerana kata-katanya di Parlimen, Bung dilantik sebagai pengerusi perhubungan Umno negeri itu pada 12 Disember.

Pelantikan oleh presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu dibuat beberapa jam selepas Hajiji Mohd Noor meletakkan jawatan sebagai pengerusi perhubungan negeri dan mengetuai sekumpulan besar wakil rakyat melibatkan sembilan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan lima ahli Parlimen meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat bebas pro-Pakatan Harapan.

Masalah dalaman Umno semakin memuncak selepas beberapa minggu kemudian apabila Zahid sendiri didesak untuk bercuti dan menyerahkan tugas parti itu kepada timbalan presiden Mohamad Hasan.

Pemimpin Umno Sabah sedia menjadikan parti itu sebagai pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019

Bung kini lebih tenang untuk memikul tanggungjawab baharunya, dan berkata ketika ini beliau tidak berhenti dalam menjalankan tugas parti.

“Kebanyakannya kerja di lapangan, bertemu akar umbi, mengukuhkan parti dan menetapkan hala tuju parti,” katanya.

Selepas kekalahan pada pilihan raya 9 Mei, Umno Sabah kekal sebagai sebuah parti terbesar di negeri itu walaupun terdapat laporan ramai ahlinya menyertai parti lain.

Bung menyatakan keahlian parti itu kekal pada 564,664, hanya 10% tersingkir selepas parti itu menghampiri 80% pembersihan data keahliannya.

“Terdapat 1,600 kematian dan kita perlu buangkannya daripada senarai.

“Mereka yang meninggalkan kita tahun lalu kebanyakannya adalah pemimpin bahagian,” katanya.

Berhubung kerjasama Umno dengan PAS, beliau berkata langkah itu tidak menjejaskan Umno Sabah kerana parti di negeri itu akan mendapat autonomi.

“Kita tidak agi merujuk keputusan kepada Umno Malaya.

“Tetapi buat masa ini, saya difahamkan kerjasama antara Umno dan PAS sebahagian besarnya adalah mengenai Islam dan Melayu.

“Ini tidak bagus kepada Umno Sabah kerana ahli di negeri ini juga ramai bukan Islam,” kata Bung dan menambah parti itu juga tidak mencari kerjasama politik seperti Gabungan Bersatu Sabah buat masa ini.

“Fokus sekarang adalah untuk memperkukhkan parti,” tegasnya.

Berhubung penetapan agenda Umno Sabah, Bung berkata parti itu yang tidak mempunyai wakil di DUN akan menjadi pembangkang yang kuat di Sabah.

Beliau berkata, Umno Sabah akan menyokong sebarang dasar yang baik daripada kerajaan seperti sekatan eksport balak, tetapi akan mengkritik kepada langkah yang tidak baik.

Beliau menyedari sejak lapan bulan parti Warisan menerajui kerajaan negeri, ia masih belum membawa apa-apa kelebihan kepada rakyat.

Bung turut memberi amaran amalan kerajaan negeri yang menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini juga perlu dihentikan.

“Ia tidak menyelesaikan masalah sara hidup rakyat dan masih meneruskan projek yang dimulakan oleh Barisan Nasional,” katanya.

“Saya ingat dengan jelas Parti Warisan Sabah mahu membatalkan projek Tanjung Aru Eco Development tetapi lihat sekarang, mereka mahu meneruskannya,” katanya.

Bung berkata, Umno perlu bekerja lebih awal sekiranya mahu memenangi pilihan raya umum akan datang. – 1 Februari, 2019

Iklan
Iklan