Iklan

Umno Sabah boleh bangkit semula dengan autonomi, kata penganalisis

Jason Santos6 years ago1st Feb 2019Berita
Iklan

BAGI Umno Sabah, autonomi sangat penting kerana parti itu perlu melakukan sesuatu yang drastik supaya akar umbi tidak kecewa susulan ramai pemimpinnya keluar parti pada Disember lalu, kata penganalisis politik Sabah.

Menurut mereka, parti yang dahulunya kuat kini jadi semakin rapuh sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu dan pemberian autonomi ini membolehkan Umno Sabah menaikkan semula imej dan kekuatan mereka.

Pensyarah sain politik Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung berkata sejak Umno Sabah hilang kuasa, tindakan pemimpinnya keluar parti beramai-ramai mula menjejaskan akar umbi.

“Penting untuk mereka lakukan uruskan parti sendiri sekarang. Itu sebabnya kenapa autonomi sangat penting bagi Umno Sabah.

“Ada banyak perkara yang perlu ditangani oleh pemimpin sekarang,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Umno Sabah kini cuba melakukan penjenamaan semula selepas ramai wakil rakyat meninggalkan parti, termasuk ketua penerangannya, Hajiji Mohd Noor, untuk menjadi wakil rakyat bebas yang mesra Pakatan Harapan (PH).

Tempat Hajiji kini digantikan dengan Bung Moktar Radin yang bertekad mahu membersihkan senarai ahli parti dan menstruktur semula parti supaya kekal relevan di Sabah.

Bung yakin Umno Sabah boleh bangkit semula dengan kekuatan ahlinya kerana ia masih parti yang mempunyai ahli teramai di negara ini. Ini ditambah dengan status autonomi untuk untuk bebas daripada ibu pejabat parti di Semenanjung.

Autonomi ini juga katanya, bermakna pimpinan tertinggi parti tidak perlu lagi merujuk semua keputusan kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno.

Autonomi ini bermakna pelaksanaan agenda politik parti, penganjuran persidangan, pemilihan ahli jawatankuasa, pemilihan calon dan penetapan hala tuju parti - semuanya akan dilakukan sendiri.

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin yakin parti itu boleh bangkit semula dengan kekuatan ahlinya kerana ia masih parti yang mempunyai ahli teramai di negara ini, ditambah pula dengan status autonomi untuk untuk bebas daripada ibu pejabat parti di Semenanjung. – Gambar YouTube, 1 Februari, 2019.

Lee menegaskan salah satu kelemahan rejim lama yang mana ibu pejabat di Semenanjung membuat keputusan bagi Umno Sabah, akan dapat diselesaikan dengan pemberian lebih banyak autonomi.

“Kita kena faham bahawa Umno Sabah berbeza dengan bahagian-bahagian lain di Semenanjung. Di sini, Umno Sabah terdiri daripada orang Islam dan buka Islam.

“Jadi, autonomi ini sangat penting supaya pemimpin Umno Sabah boleh mengurus parti mengikut cara Sabah.

“Ia tidak boleh mengikut apa yang rakan mereka di Semenanjung lakukan,” katanya.

Lee memberikan contoh seperti banyak isu yang dibangkitkan oleh pemimpin tertinggi Umno pusat yang langsung tiada kena mengena atau memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak, seperti masalah kaum dan agama di Semenanjung.

Pemerhati politik Sabah, Mohd Faizizi Maidin pula berkata autonomi kepada Umno Sabah akan menaikkan semangat ahli dan imej parti.

“Mereka masih boleh tarik ahli baharu. Pada ketika ini, dengan ketua baharu, beliau juga perlu mengimbangi barisan kepimpinan dengan muka lama dan baharu. Formula yang sama juga perlu diguna pakai bagi PRU15,” katanya.

Kata Faizi, apa yang perlu Bung bimbang sekarang hanyalah bagaimana untuk bekerja dengan pasukan yang kurang pengalaman.

Menurutnya, satu-satunya sokongan yang Bung boleh perolehi ialah dari Adun Sungai Sibuga Musa Aman dan bekas ahli Parlimen Kota Belud Abdul Rahman Dahlan, tetapi kedua-duanya menyepikan diri sejak pilihan raya umum lalu.

“Mereka harus atasi risiko dengan autonomi. Perjuang hak-hak negeri seperti yang Warisan lakukan semasa jadi pembangkang.

“Dengan cara ini, mereka masih boleh merayu pengundi Sabah dan menarik ahli baharu,” kata Faizi. – 1 Februari, 2019.

Iklan
Iklan