Iklan

Zahid beri amaran bukan Islam henti campur tangan soal agama

Zulkifli Sulong8 years ago4th Apr 2017Berita
Iklan

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meminta bukan Islam agar tidak mencampuri urusan agama Islam, beberapa hari selepas Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) menolak untuk membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menggantikan perdana menteri ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M di Melaka semalam.

“Atas asas akidah yang sama, atas pegangan ummah yang sama, mari kita bersama-sama menentukan jangan ada sesiapa yang cuba mengajar kita, apatah lagi mencabar kita, sama ada dari luar atau dalam rumah kita,” kata Zahid.

Ucapan ini dibuat beberapa hari selepas pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan pendirian menolak untuk membentangkan RUU355.

Pendirian itu diumumkan selepas mesyuarat yang dibuat bagi mengambil pendirian bersama ekoran keputusan kerajaan mahu membentangkan RUU355 ke Parlimen.

Pemimpin parti BN dari Sabah dan Sarawak serta MCA, MIC dan Gerakan dikatakan menolak keputusan Umno itu.

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang memfailkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi meminta RUU355 untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah itu.

Najib dan Zahid kemudian mengumumkan kerajaan sendiri akan membentangkan usul itu dan disokong PAS.

Dalam ucapan semalam, Zahid mengajak umat Islam menentukan agar jangan ada sesiapa mengajar mereka apatah lagi mencabar mengenai agama.

“Mereka mesti belajar menghormati kita untuk kita belajar mengormati mereka. Benar, kamu dengan agama kamu, aku dengan agama aku, tetapi tolong hormati agama kita agar kita belajar menghormati agama mereka,” katanya.

“Kenapa kita mahu disanggah? Kerana mereka menganggap kita lemah, kerana mereka menganggap kita berpecah, maka mereka berani melakukan sesuatu yang tidak kita alu-alukan selama ini. Cukuplah, cukuplah,” kata Zahid dalam ucapan di depan ratusan pemimpin dan umat Islam yang menyertai majlis perasmian tilawah itu.

Beliau juga menyeru umat Islam yang berbeza pendapat agar tidak berpecah dalam soalan agama.

“Biar pun kita berbeza pendapat di dalam banyak hal, tetapi di dalam soal agama, kita jangan berbeza pendapat, kerana dalam Perlembagaan kita menentukan agama Persekutuan adalah agama Islam.

“Jika hak kita untuk menentukan hala tuju dan masa depan kita, jika kita mahu meletakkan hukum untuk kalangan kita, dan kita dicabar, maka adakah kita mahu mengizinkan orang lain untuk mencampuri hal kita?” kata Zahid. – 4 April, 2017.

Iklan
Iklan