Realiti selepas bergembira
Iklan
KAMI faham.
Ini peluang terbaik untuk ahli politik yang hendak menghadapi pilihan raya, sama ada untuk bertanding atau mengalah. Negara kita baru saja menang besar dengan kutipan pingat emas terbanyak dalam Sukan SEA dan juara-juara tanahair ini memberikan kita satu perasaan yang damai.
Mereka ini sama saja seperti, rakyat Malaysia yang berhempas pulas menghadapi semua halangan untuk membawa kegemilangan kepada keluarga dan negara.
Pencapaian cemerlang dan sambutan kegembiraan buat juara-juara sanjungan. Satu kombinasi yang gemilang.
Dan kemudian hari ini kita raikan pula Hari Kebangsaan Malaysia ke-60. Waktu untuk refleksi dan berterima kasih.
Jadi kami faham keinginan kerajaan Najib Razak untuk terus memacu ledakan patriotisme dan nasionalisme. Ahli politik akan sentiasa mencari sebarang kelebihan untuk terus kekal berkuasa.
Media arus perdana menyiarkan berita utama yang indah-indah saja. Malah, ada satu media itu mengisytiharkan ada ruang bagi setiap rakyat Malaysia di bawah mentari Malaysia. Subteks dalam semua laporan media itu ialah perpaduan berjaya dilaksanakan selama berdekad dan perpaduan dalam kalangan semua kaum perlu sentiasa dihargai dan dipertahankan.
Kami faham Najib mahu menggunakan gelombang ini selama mana yang dia boleh. Sesetengah penganalisis politik percaya yang Najib akan mendapat mandat baharu pada Oktober, sejurus selepas dua acara penting – lawatan ke White House dan pembentangan Bajet.
Ramai percaya yang perdana menteri sedang menunggu selepas Tahun Baru Cina. Namun itu terpulang padanya dan keputusannya terserah pada kita.
Di sebalik semua itu, kita patut raikan pencapaian atlet kita. Kita patut raikan tanah air yang dirahmati ini.
Tetapi apa yang lebih penting ialah, kita patut bertindak sama ada cakap-cakap mengenai perpaduan dan meraikan perbezaan itu hanya sekadar cakap saja.
Kita patut bertanya pada diri sendiri, apakah negara yang dibayangkan oleh Tunku Abdul Rahman dan pengasas-pengasa lain itu masih wujud atau hanya tinggal bayangan saja.
Atau adakah kita sudah tersasar dari laluan sebenar?
Kita perlu fikir melangkaui berita utama dan slogan dan bertanya adakah semua orang yang lahir di negara ini ada rasa memiliki, bernilai atau kesamarataan?
Kita juga perlu jujur dengan diri sendiri. Adakah kita menjadi rakan sejenayah atau apabila kita membisu, kita bersubahat dengan semua salah laku atau sikap acuh tak acuh di Malaysia?
Bila kita lihat keluarga orang Melayu, Cina, India atau Kadazan, adakah kita nampak mereka sebagai kawan atau musuh?
Kita faham Najib dan rakan-rakannya suka untuk mengambil kesempatan terhadap segala rasa seronok dalam negara. Itu apa yang ahli politik selalu buat. Mereka kaut segala peluang dan momen, tidak semuanya dengan mengambil kira kepentingan majoriti.
Tetapi sudah pasti sebgai rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik , kita akan gagal jika kita pun ikut sama seperti mereka. Kita perlu pastikan mereka dan ahli politik lain bersikap jujur dan bertanggungjawab.
Itu yang sepatutnya rakyat Malaysia lakukan. – 31 Ogos, 2017.