Dua Liow dalam 'Citizens' lambang kecewa, inspirasi Cina Malaysia
Iklan
FILEM pendek “Citizens: A Merdeka Day PSA” yang tular kebelakangan ini menarik maklum balas bercampur baur kaum Cina Malaysia yang meluahkan kehilangan keyakinan kepada kepimpinan negara, walaupun pada masa yang sama masih bersemangat mahu memainkankan peranan mereka untuk menjadikan Malaysia lebih baik.
Klip berdurasi enam minit itu membuatkan mereka marah, kecewa, sinikal; semuanya wujud pada masa yang sama ketika mereka melihat lakonan mantap Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai dalam dua peranan; seorang menteri dan seorang warga biasa. Liow yang juga merupakan presiden MCA, parti komponen utama mewakili kaum Cina dalam gabungan pemerintah, Barisan Nasional. Populariti parti itu kini menjunam jatuh disebabkan dakwaan korupsi, isu kos sara hidup tinggi dan politik perkauman.
Dua watak yang dimainkan Liow, sebagai seorang rakyat biasa dan seorang menteri berkisar tentang keadaan kerajaan semasa dan rasa putus asa seorang rakyat kerana kurangnya perubahan. Filem pendek yang ditulis dan diarahkan pengarah bebas tempatan, Pete Teo dan Liew Seng Tat itu diterbitkan sempena Hari Kebangsaan Malaysia.
Mesej utamanya adalah supaya semua warga mengetepikan perbezaan dan menumpukan usaha pembangunan negara.
The Malaysian Insight membincangkan filem itu dengan beberapa rakyat Malaysia berketurunan Cina selepas mereka menonton filem pendek itu, nada marah yang bermula di awal filem yang mencetuskan perbincangan tentang soal harapan; tentang apa yang mereka boleh lakukan - walau sekecil mana sekalipun - kepada negara.
Kemarahan dan Kesinisan
Lim Chi May, seorang guru berkata dia sayangkan Malaysia tetapi masih tidak mampu menghilangkan rasa tidak berdaya kerana sudah tidak percaya kepada sesiapa untuk menerajui negara ini.
“Saya sayangkan negara ini tetapi saya sudah tidak percaya kepada sesiapa untuk memimpin negara ketika ini.
“Saya juga rasakan tiada apa lagi yang boleh kita buat untuk mengubahnya, kecuali mengundi dalam sistem yang sudah tercemar dan didik anak kita supaya ada harapan akan wujdnya integriti di masa depan di negara ini,” kata penduduk Lembah Klang berusia 39 tahun itu.
Sentimen sama disuarakan SF Pang yang mengatakan dia sudah penat dengan diskriminasi kaum, korupsi, masalah ekonomi dan tahap pendidikan negara.
“Saya memang rasa tak berdaya bila tengok skandal seperti 1Malaysia Development Berhad, ekonomi yang teruk dan politik perkauman dan agama yang selalu digunakan ahli politik.
“Tetapi saya tidak boleh putus harapan kerana saya pasti semua rakyat Malaysia mahukan perkara yang sama, supaya ekonomi kita lebih baik, kita lebih berpadu. Ia bukan hanya untuk saya tetapi juga untuk generasi yang lebih muda,” kata juruteknik dari Melaka yang berusia 55 tahun itu.
Seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Chan pula berkata Malaysia sudah bermasalah sejak 2009 lagi.
“Bila nak selesai? Korupsi, perbelanjaan tak perlu dan ahli politik yang cuba memecah belahkan masyarakat ikut kaum,” soalnya.
Chan berkata dia sering bertanyakan diri sendiri mengapa masih tidak wujud perpaduan sebenar walaupun sudah 60 tahun Malaysia merdeka.
“Saya juga tidak tahu mengapa kita masih tidak dikenali sebagai Bangsa Malaysia tetapi masih terperangkap dalam kaum masing-masing,” kata penduduk Segambut itu.
Peranan Liow dan kerelevanan MCA
Lim merasakan Liow selaku pemimpin MCA sangat berani kerana memainkan dua watak yang sangat bertentangan itu.
“Mungkin dia rasa dia boleh raih lebih banyak undi dan saya fikir dia buat begitu kerana sebab politik.
“Saya tengok video itu tetapi saya tidak ‘rasa dekat’ dengannya. Tidak seperti video pemimpin pembangkang Mat Sabu dan Lim Guan Eng. Saya masih ingat yang itu (Mat Sabu dan Guan Eng) kerana mereka bercakap tentang perjuangan mereka dan kisah mereka ditahan di Kamunting,” kata Lim, merujuk kepada sebuah video yang diterbitkan pada April 2013 yang memaparkan dua tokoh pembangkang itu.
Mohamad Sabu yang kini merupakan presiden Amanah dan Setiauasa Agung DAP Lim Guan Eng pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 dan 1989, bercakap tentang pengalaman mereka dalam penjara menerusi video “Pengalaman Mat Sabu dan Lim Guan Eng dalam penjara 18 bulan” yang berdurasi tiga setengah minit.
Walaupun Pang merasakan kualiti filem pendek itu baik, dia merasakan MCA tidak lagi relevan kepada masyarakat Cina.
“Saya pasti Liow dalam kedudukannya juga ada masalah sendiri. Tetapi saya tidak merasakan parti itu mewakili saya atau komuniti. Saya rasa usaha mereka tidak cukup.
“Walaupun perit untuk kata, tapi saya rasa parti itu sudah meminggirkan komuniti mereka sendiri,” katanya.
Chan, suri rumah itu pula tidak berlapik apabila mengatakan sangat “hipokrit” untuk Liow selaku presiden MCA terlibat dalam filem pendek seperti itu sedangkan partinya tidak banyak berusaha membaiki hubungan antara kaum.
“Dia pandai berlakon (dalam filem itu), tetapi apa yang Liow dan MCA buat?
“Mengapa masih ada orang BN yang suruh kami balik tongsan,” kata Chan menambah yang parti itu perlu menilai kembali bagaimana usahanya selama ini untuk mewakili kaum Cina Malaysia.
Putus asa atau terus melawan
“Sudah tentu tidak. Saya akan terus memainkan peranan saya dengan menyumbang kepada masyarakat menggunakan apa sahaja yang saya boleh,” kata Pang.
“Saya fikir penting untuk bersuara. Itulah sebabnya mengapa mengundi itu sangat penting kerana ia adalah salah satu cara suara kita didengar untuk beberapa tahun lagi,” katanya.
Chan berkata orang bukan Islam dan bukan Bumiputera tidak boleh putus asa dan meninggalkan negara ini.
“Kita tak boleh putus harap. Kita disuruh balik ke ‘negara asal’ tetapi negara itu bukan negara kita. Nenek moyang kita ada negara asal mereka tetapi untuk kita, Malaysia adalah negara kita. Kita perlu kekal di sini,” katanya.
Seorang lagi suri rumah, Chua Siew Bee berkata walaupun kecewa dengan kerajaan, filem pendek itu mengingatkannya tentang perubahan yang boleh dilakukannya kepada mereka di sekeliling.
“Tidak kisah kecil atau besar usaha kita. Kita buat kerja kita untuk jadikan masyarakat lebih baik.
“Sebenarnya, saya tak nampak pilihan apa lagi yang ada, kecuali buat apa yang kita boleh buat,” kata anak jati Pulau Pinang itu. – 31 Ogos, 2017.