Iklan

Sektor hartanah Sabah dibelenggu karenah birokrasi

Jason Santos6 years ago4th Feb 2019Berita
Daily life001
Sabah terutama di Kota Kinabalu adalah antara negeri di Malaysia yang harga hartanahnya melonjak tinggi disebabkan masalah birokrasi agensi kerajaan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 4 Februari, 2019.
Iklan

PEMAJU menyokong cadangan pembubaran Urusetia Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa Sabah, yang menurut mereka dibelenggu dengan masalah salah tadbir dan salah guna kuasa sehingga jadi punca kelewatan projek pembinaan di negeri Bawah Bayu itu.

Urusetia tersebut dikatakan mengambil masa yang lama untuk meluluskan Pelan Pembangunan (DP) kerana kuasa kelulusan terletak sepenuhnya pada budi bicara pengarah urusetia tersebut.

Mereka mendakwa banyak kelulusan DAP sengaja dilewatkan oleh pengarah tersebut, sehingga ada projek pembinaan hanya diluluskan selepas enam tahun permohonan dibuat.

“Pengarah mengubah banyak prosedur sehingga ia jadi sangat mengelirukan sehingga tidak siapa yang tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat jabatan.

“Prosedur yang tidak jelas ditetapkan pengarah juga terdedah kepada salah guna dan rasuah,” kata seorang pemaju yang bercakap atas dasar kerahsiaan identiti kepada The Malaysian Insight.

Pemaju mendakwa pengarah tersebut juga diketahui ramai sengaja mengubah minit mesyuarat untuk menunjukkan DP berkaitan sudah dirujuk kepada Kabinet negeri untuk kelulusan sedangkan ia tidak berlaku sehingga melambatkan lagi proses kelulusan.

Tambahnya lagi, bidang kuasa yang terlalu luas kepada pengarah untuk mencadangkan, mengunjurkan, meminda dan melaksana perintah, membuka ruang kepada salah guna kuasa dan korupsi.

Seorang sumber Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) pula berkata urusetia tersebut sudah melampaui bidang kuasanya dengan meniru peranan kerajaan tempatan dalam meluluskan DP.

Pemaju mahukan Urusetia Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa Sabah dibubarkan kerana menurut mereka ia menyekat pembangunan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 4 Februari, 2019.

“Ada dua badan yang meluluskan DP. Pertama, kerajaan tempatan dan kedua adalah Urusetia Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa Sabah.

“95% DP selalunya diluluskan tanpa masalah di peringkat kerajaan tempatan dan majlis perbandaran, tetapi penghantaran kepada urusetia selalunya menimbulkan banyak masalah dan menyakitkan kepala kerana pengarah berkuasa penuh ke atasnya,” kata sumber itu.

Katanya, perbezaan itu juga wujud kerana kebanyakan pakar seperti jurutera dan juruteknik yang menyemak DP berada dalam kerajaan tempatan, dan bukannya di urusetia tersebut. 

Malah, kebanyakan pegawai urusetia itu termasuklah pengarahnya adalah mereka yang tiada latar belakang teknikal, tetapi diberikan kuasa menyelia aspek teknikal projek pembangunan.

“Hanya kerana mahu menangguhkan sesuatu projek, mereka akan masukkan cadangan teknikal yang kebanyakan adalah mengarut kerana kebanyakan kakitangan di sana bukanlah pakar pembinaan,” katanya lagi.

Ramai ahli Shareda yang menanggung kerugian besar disebabkan urusetia lewat memberi kelulusan projek, sehingga apabila ia akhirnya diluluskan, kos jadi terlalu tinggi dan akhirnya pembeli yang terpaksa membayar harga lebih mahal.

Tambahan pula, tidak seperti negeri lain, kadar keuntungan untuk pemaju di Sabah dan Melaka ditetapkan hanya sekitar 30%.

Masalah birokrasi urusetia tersebut serta had keuntungan ini adalah antara sebab hartanah di Sabah terutama di Kota Kinabalu antara yang termahal di Malaysia, kata sumber Shareda lagi.

Sabah, salah sebuah negeri Borneo yang mempunyai potensi besar pembangunan dan ia hanya dapat dilakukan sekiranya masalah birokrasi kerajaan diatasi sepenuhnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 4 Februari, 2019.

Difahamkan masalah dengan urusetia itu bermula pada 2008, dan kemuncak masalah adalah kontroversi pembinaan patung Mazu tertinggi dunia.

Kesan kontroversi tersebut adalah perang dingin antara ketua menteri ketika itu, Musa Aman dan bekas ketua menteri Chong Kah Kiat, menyebabkan Musa memberikan kuasa besar kepada urusetia untuk membatalkan mana-mana projek yang sudah diluluskan.

Sumber berkata, kesan kontroversi 2008 itu, urusetia menjadi sangat berkuasa dan mengubah semua prosedur sehingga menjadikan semua proses kelulusan tidak telus.

“Beliau sangat berkuasa sehingga mampu membatalkan projek berdasarkan kes demi kes walaupun pemaju sudah mendapat kelulusan DP selepas memenuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan tempatan,” katanya.

Pada asalnya, peranan urusetia hanyalah sebagai tempat pemaju mendapatkan bantuan sekiranya projek mereka ditolak kerajaan tempatan.

Baru-baru ini, sepucuk surat dikeluarkan perunding projek tular di media sosial menuduh pengarah urusetia meminta habuan daripada pemaju supaya DP mereka diluluskan.

Bagaimanapun, menurut seorang pemaju, sudah wujud perkembangan baik selepas Warisan mengambil alih pentadbiran apabila petunjuk prestasi utama (KPI) diwujudkan untuk urusetia tersebut.

Kewujudan KPI itu menyebabkan beberapa projek yang sudah lama tertangguh akhirnya diluluskan urusetia, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk menghapuskan masalah membelenggu sektor hartanah Sabah.

“Kelulusan lebih cepat sedikit selepas KPI urusetia ditetapkan pada Disember tahun lepas. Tetapi, masih banyak perkara ada kelompangan dan peluang wujudnya rasuah.

“Apa yang kami mahu adalah supaya kerajaan negeri diterajui Warisan untuk menunaikan janji pilihan rayanya untuk memindahkan kembali kuasa kepada kerajaan tempatan.

“Proses tak telus berlaku dalam urusetia yang memudahkan korupsi berlaku dan kerana itu KPI sahaja tidak mencukupi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal mengumumkan wujud cadangan pembubaran urusetia tersebut tetapi sehingga kini masih tiada tindakan lanjut diambil. – 4 Februari, 2019.

Iklan
Iklan