Kanak-kanak tanpa kerakyatan pilih karier tarian singa
Iklan
TARIAN singa merupakan acara wajib setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dan kebanyakan syarikat seta individu sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi bagi menikmati persembahan tradisional itu.
Namun di sebalik permintaan yang sentiasa tinggi, golongan remaja Cina pula dilihat semakin kurang berminat untuk mewarisi seni budaya masyarakat mereka itu dek kerana kebimbangan terhadap aksi berbahaya tarian tersebut.
Bagi mengisi kekurangan itu, kanak-kanak dari Sabah yang tidak memiliki kerakyatan muncul untuk memenuhi permintaan tersebut.
Dengan usia seawal 12 tahun, sejumlah kanak-kanak dari golongan itu dilatih untuk melompat di palang yang tinggi, memanjat tinag setinggi 10 kaki sambil mengimbangi badan dengan memegang kostum singa.
Tanpa merasa bimbang soal keselamatan, kebanyakan kanak-kanak itu melihat tarian itu sebagai satu peluang untuk belajar kemahiran baharu dan memperoleh pendapatan bagi menampung beban kewangan keluarga mereka.
Sainudin Dasli, 12, berkata dia mengambil enam bulan untuk mahir dalam koreografi dan mempersembahkan tarian itu di atas tiang yang kecil.
“Hampir setiap malam selama empat jam saya dilatih untuk mengimbangi badan di atas tiang,” katanya.
Rakan Sainudin, Erwan Nazil yang memperkenalkan kepadanya tentang tarian singa itu. Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu merupakan sepupu dan berasal dari masyarakat Bajau.
Erwan mula menyertai tarian singa ketika usia 15 tahun selepas dibuang sekolah di Menggatal.
Dia mengajar kemahiran tarian singa kepada Sainudin yang tidak dibenarkan hadir ke sekolah kerana tidak memiliki kerakyatan - ekoran kegagalan ibu bapanya mendaftar kelahirannya.
Erwan berkata dia merancang untuk tidak lagi beraksi di atas tiang dalam tempoh beberapa tahun lagi kerana bimbang terhadap bahaya seni itu.
“Saya mahu melakukan tarian yang lebih selamat di tanah atau memainkan peranan sebagai pemukul gendang.
“Mungkin selepas ini saya akan mencari pekerjaan yang lebih stabil. Pekerjaan yang mampu menampung saya dan keluarga,” katanya. – 5 Februari, 2019.
Berita penuh di sini.