Iklan

Artikel Malaysia Today berita palsu, kata Kementerian Kewangan

The Malaysian Insight6 years ago6th Feb 2019Berita
Tabung haji 111218 tmiseth 02
Kementerian Kewangan menafikan laporan Malaysia Today bahawa umat Islam di negara ini hanya boleh menunaikan umrah menerusi Lembaga Tabung Haji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2019.
Iklan

SATU laporan polis dibuat terhadap laman web Malaysia Today kerana menyiarkan berita palsu bahawa Kementerian Kewangan mengarahkan umat Islam yang hendak melakukan ibadat umrah hanya boleh berbuat demikian menerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan seperti didakwa oleh Malaysia Today dan posting di Facebook oleh pemilik laman web itu, Raja Petra Kamaruddin pada 4 Februari.

Berita palsu itu disebarkan hanya untuk mencetuskan rasa benci dan marah terhadap menteri (Lim Guan Eng) yang bukan Islam, bertujuan menunjukkan beliau campur tangan dalam hal ehwal Islam,” kata kementerian.  

“Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ingin menegaskan bahawa Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan MOF tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan yang menghendaki orang beragama Islam melakukan Umrah hanya melalui Tabung Haji dan bukannya melalui agensi pelancongan swasta/bebas yang telah dihalang daripada menawarkan pakej-pakej Umrah.”

Menurut artikel bertajuk “Guan Eng will Kill off Malay businesses (Guan Eng akan musnahkan perniagaan orang Melayu)” yang menyatakan matlamat pemerintah adalah untuk membiarkan Tabung Haji memonopoli perkhidmatan umrah dan membuang peluang-peluang perniagaan bagi usahawan bumiputera.

Kementerian Kewangan telah membuat laporan polis dan aduan terhadap laman sesawang itu turut diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ingin ditegaskan sekali lagi di sini bahawa tidak sekali-kali pernah Menteri Kewangan, mahupun MOF mengeluarkan arahan seperti yang dinyatakan di dalam artikel Malaysia Today. Tuduhan-tuduhan palsu ini berniat jahat dan merupakan fitnah dan pembohongan.”  – 6 Februari, 2019.

Iklan
Iklan