Iklan

Umno Sabah kembali dengan kepimpinan baharu, kata Annuar

Jason Santos6 years ago8th Feb 2019Berita
Umno2 annuar irwan tmi
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, 90% kepimpinan Sabah kini terdiri daripada individu baharu, bertenaga dan orang muda semasa sidang media di Kota Kinablu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 8 Februari, 2019.
Iklan

UMNO Sabah disusun semula selepas tindakan keluar parti secara beramai-ramai pimpinan tertingginya pada 12 Disember tahun lepas, kata Annuar Musa.

Setiausaha agung parti berkata, 90% kepimpinan Sabah sekarang terdiri daripada individu baharu, bertenaga dan orang muda.

“Inilah yang diperlukan Umno, pemimpin muda yang bertenaga, baharu dan tanpa masalah politik yang keterlaluan untuk mengambil alih kepimpinan.

“Ini penting sebagai satu proses untuk meremajakan dan memperkukuhkan perjuangan Umno Sabah,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Annuar sebelum ini menyerahkan surat pelantikan kepada ketua bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Selepas melalui proses saringan, Umno Sabah kekal sebagai yang terbesar dari segi keahlian di negara ini, dengan lebih 500,000 ahli, katanya.

Umno Sabah kini dipimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinabatangan Bung Moktar Radin manakala Abdul Rahman Dahlan (Tuaran), Kamarlin Ombi (Lumadan) dan Raimie Unggi (Tenom) kekal sebagai ketua bahagian.

Ketua negeri akan diberikan autonomi penuh dengan butiran atau kuasa yang serahkan dari semasa ke semasa, kata Annuar.

Umno Sabah sudah beroperasi secara autonomi tetapi ia juga perlu beroperasi seiring perlembagaan parti, katanya.

Umno mengekalkan kuasa dengan memilih calon pilihan raya.

“Memberikan autonomi kepada Sabah juga penting bagi Umno Malaysia kerana kami memerlukan nasihat pemimpin Sabah mengenai bagaimana kami boleh membantu penduduk Sabah dan mengembalikan hak mereka,” katanya. – 8 Februari, 2019.

Iklan
Iklan