Iklan

Umno alu-alukan SPRM siasat RM90 juta PAS

Jason Santos6 years ago8th Feb 2019Berita
annuar musa tmi
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata parti itu mengalu-alukan SPRM untuk siasat dakwaan mereka memberi RM90 juta kepada PAS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 8 Februari, 2019.
Iklan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dialu-alukan untuk menyiasat Umno berhubung dakwaan pemberian RM90 juta daripada parti itu kepada PAS, kata Annuar Musa.

Setiausaha agung Umno itu berkata SPRM sebelum ini sudah menyiasat akaun parti Melayu itu dan boleh mengetahui sekiranya ada wang yang dipindahkan kepada parti Islam itu.

Ini termasuklah transaksi yang melibatkan bekas presiden Najib Razak, tambahnya.

 “Perkara ini berkaitan PAS, walaupun kami tiada hak untuk kata apa-apa, akaun kami sudah diperiksa SPRM.

“Sekarang patutnya, mereka sudah jumpa (kalau ada) kerana RM90 juta adalah jumlah yang besar,” katanya lagi.

Anwar berkata demikian kepada wartawan di Kota Kinabalu selepas bertemu dengan ketua bahagian Umno Sabah.

Pemimpin politik dan aktivis NGO sudah mendesak SPRM menyiasat dakwaan PAS menerima RM 90 juta daripada Umno.

Desakan ini timbul selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat pusingan U apabila mencapai penyelesaian luar mahkamah berkaitan saman fitnah difailkan kepada Ketua Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di UK berkaitan artikel disiarkan portal itu mendakwa transaksi RM90 juta berlaku antara dua parti pembangkang itu sebelum PRU14.

SPRM sudah mengesahkan siasatan sudah bermula kerana laporan rasmi sudah diterima.

Annuar percaya yang desakan siasatan RM90 juta itu mungkin dicetuskan kerana kejayaan kerjasama antara PAS dan Umno pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands lalu. Calon Umno-Barisan Nasional menang PRK itu.

“Saya percaya kes itu mungkin ada kaitan dengan PRK Cameron Highlands dan ada pemimpin Pakatan Harapan yang melihatnya sebagai ancaman.

“Tetapi, kerajaan PH patut nilai diri sendiri, kerana lebih ramai rakyat yang makin tak suka dengan pemimpinnya,” katanya lagi. – 8 Februari, 2019.

Iklan
Iklan