Iklan

Walau terdapat penafian, desakan tubuh Bersatu Sabah makin kuat

Jason Santos6 years ago9th Feb 2019Berita
Bersatu 2nd year 20180908 tmihasnoor 006
Borang khas bakal diedarkan kepada kira-kira 100,000 penduduk Sabah akhir bulan ini untuk meyakinkan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad agar menubuhkan bahagian parti di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2019.
Iklan

LAJIM Ukin meningkatkan usaha untuk membawa parti yang berpangkalan di Semenanjung Bersatu ke Sabah walaupun terdapat penafian daripada parti itu berhubung penubuhan cawangannya di negeri berkenaan. 

Lajim yang juga merupakan presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, mengatur untuk mengedarkan borang keahlian yang direka khas kepada kira-kira 100,000 penduduk Sabah akhir bulan ini. 

Beliau memberitahu The Malaysian Insight peningkatan keahlian ini akan meyakinkan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan bahagian partinya di negeri itu. 

“Kita sedang mendapatkan borang sekarang dan sebagaimana yag disebut oleh Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya baru-baru ini, parti itu sedia menjejakkan kakinya ke Sabah,” kata Lajim kepada The Malaysian Insight. 

Peningkatan keahlian ini bertentangan dengan latar belakang di mana pemimpin Warisan Shafie Apdal mengingatkan pemimpin Bersatu dan ahli politik Sabah bahawa parti itu sebelum ini bersetuju tiada keperluan untuk mendirikan bahagiannya di negeri itu, memandangkan partinya adalah sekutu Pakatan Harapan (PH) dan menerajui pentadbiran Sabah.

“Sokongan Bumiputera terhadap sekutu Warisan-PH adalah kuat. Kerjasama ini menyaksikan kita menang kerusi Parlimen dan DUN, seperti Papar, Putatan, Penampang, Karambunai dan Sepanggar di pantai barat.

“Kita juga menang besar di pantai timur,” kata Shafie kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan rakyat sempena Tahun Baharu Cina di Semporna Khamis lalu. 

Ditanya mengenai kenyataan Shafie, Lajim menyatakan ia hanyalah perjanjian lisan antara Shafie dan Dr Mahathir, serta menambah Warisan tidak berhak menghalang mana-mana parti untuk ditubuhkan di negeri itu. 

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin memperhebatkan usaha untuk membawa Bersatu ke negeri Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 9 Februari, 2019

“Tidak ada hitam dan putih berhubung perkara itu, dan setakat yang saya tahu, ia hanya pakatan pilihan raya yang dipersetujus kedua-dua parti sebelum PRU14. 

“Situasi kini berubah dan nampaknya Bersatu akan ke Sabah untuk membantu Warisan berdepan dengan Umno Sabah,” katanya. 

Lajim berkata, keputusan untuk memasuki Sabah hanya diketahui selepas pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac yang mana parti itu dijangka akan mengadakan majlis khas untuk mengumumkan kemasukannya ke negeri itu. 

“Sekiranya semuanya mengikut apa yang dirancang sebagaimana yang diputuskan oleh Parti Harapan Rakyat Sabah, kami akan bubarkan parti dan sertai Bersatu,” kata Lajim dan menambah Bersatu kini terlalu sibuk untuk memenangi pilihan raya di Semenyih. 

Bukan Lajim sahaja yang mahu Bersatu ditubuhkan di Sabah. 

Bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor juga cuba untuk menubuhkan Bersatu di Sabah bersama bekas Adun dan ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu dan menjadi bebas. 

Bagaimanapun, tidak seperti Lajim yang mahu bekerjasama dengan Warisan dan PH, Hajiji mahu menggabungkan Bersatu Sabah dengan gabungan pembangkang baharu, Gabungan Bersatu Sabah. 

Gabungan Bersatu Sabah terdiri daripada Parti Bersatu Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Umno Sabah.

Lajim menyifatkan ia sebagai idea yang tidak masuk akal.

“Bersatu tidak boleh bergabung dengan kumpulan pembangkang. Bagaimana untuk Bersatu berada dalam pakatan pembangkang?”

“Keutamaan kita adalah untuk bekerjasama dengan Warisan dan PH DAP Sabah, PKR Sabah dan Amanah, seperti di peringkat persekutuan,” kata Lajim dan menambah ahli Umno tidak perlu mengetuai pembentukan Bersatu Sabah. 

“Dr Mahathir sebelum ini berkata yang bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu tidak dibenarkan mempunyai sebarang jawatan dalam parti. Mereka hanya boleh sertai sebagai ahli biasa.

“Mereka perlu tunggu sekurang-kurangnya empat tahun sebelum boleh memegang apa-apa jawatan dalam Bersatu dan jadi tidak boleh menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang,” tambah Lajim. – 9 Februari, 2019.

Iklan
Iklan