Iklan

Rafizi nafi dikenakan tindakan disiplin oleh biro politik PKR

Amin Iskandar7 years ago1st Sep 2017Berita
Rafizi ramli 130316 tmiseth 02
Rafizi Ramli berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana menghormati sambutan Aidiladha yang sedang berlangsung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.
Iklan

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan biro politik parti itu mengambil tindakan disiplin dengan memberi amaran kepadanya berhubung tindakan mendedahkan hal dalaman kepada umum.

Laporan akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily memetik sumber sebagai berkata Biro Politik PKR memutuskan untuk memberi amaran keras secara lisan kepada Rafizi kerana tindakan serta kenyataannya merosakkan nama baik parti itu.

“Laporan itu tidak benar. Saya akan respons pada hari Isnin,” kata ahli Parlimen Pandan itu kepada The Malaysian Insight.

Rafizi berkata beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana menghormati sambutan Aidiladha yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan mengesahkan tiada tindakan disiplin amaran dan kemungkinan dipecat keanggotaan dibawa oleh Jawatankuasa Disiplin parti pada mesyuarat biro politik baru-baru ini.

“Laporan yang memetik sumber parti itu adalah tidak benar dan saya suka menganjurkan media mendapat berita dari sumber parti yang sah,” katanya.

“PKR tidak akan hilang fokus dalam persiapan pilihan raya dan saya menggesa seluruh anggota parti menggembeling tenaga mengukuhkan parti dan tidak bermain dengan khabar angin bertujuan adu domba.”

Menurut laporan Sin Chew Daily, Biro Politik PKR dikatakan mengambil tindakan disiplin dengan memberi amaran kepada Rafizi kerana mendedahkan perbalahan dalaman parti itu kepada umum.

“Berdasarkan nasihat Anwar Ibrahim, parti hanya memberi amaran lisan kepada Rafizi ketika ini.

“Jika beliau terus berdegil, tiada orang boleh menjamin beliau tidak akan dipecat kelak,” kata laporan Sin Chew Daily memetik sumber dalaman PKR.

Sumber yang dipetik Sin Chew Daily berkata, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan tiada kerjasama dengan PAS, tidak membantah PKR berunding dengan parti Islam itu secara diam-diam.

Sumber itu turut berkata, PKR berpendirian tegas kerana ketua umumnya, Anwar mengarahkan rundingan dengan PAS diteruskan bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“PKR berdepan cabaran bukan sahaja daripada PAS, tetapi juga parti politik lain di Malaysia Timur. Oleh itu, kami akan terus berunding formula satu lawan satu dengan PAS, Parti Sosialis Malaysia dan parti lain di Malaysia Timur.

“PKR hanya membincangkan formula satu lawan satu dengan PAS. Ini bukan kerjasama politik kerana kami tidak membuat dasar atau manifesto bersama,” lapor akhbar berbahasa Cina itu.

Menurut Sin Chew Daily, ini menyebabkan Anwar melantik Mohamed Azmin Ali mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS dan pelantikan itu turut mendapatkan persetujuan sebahagian besar ahli Biro Politik PKR.

Sumber itu mendakwa pemimpin yang membantah rundingan itu seperti Rafizi dan Ahli Parlimen Selayang William Leong bukan puak Azmin dan sering menentang tindakan menteri besar Selangor itu, termasuk membantah rundingan berkenaan.

“Selaku naib presiden dan ahli Biro Politik, sudah setahun Rafizi tidak menghadiri mesyuarat biro itu,” kata sumber itu seperti dilaporkan Sin Chew Daily.

Minggu lalu Azmin yang juga timbalan presiden PKR mengakui berunding dengan PAS, mengatakan ia dibuat berdasarkan keputusan parti dan bukan atas kapasiti peribadi.

Azmin berkata, rundingan itu bagi mengelakkan pertembungan 3 penjuru di Selangor dan meningkatkan peluang kemenangan PKR dan parti PH lain.

Ini menyebabkan Rafizi yang menentang rundingan dengan PAS menuntut kongres khas perlu dibentuk segera untuk menyelesaikan isu ini.

Beliau berkata perbezaan mengenai perkara itu (sama ada untuk bekerjasama dengan PAS bagi mengekalkan penguasaan terhadap Selangor) memecahbelahkan parti itu dan kini menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong akar umbi. –  1 September, 2017.

Iklan
Iklan