Iklan

Pemimpin Pakatan bimbang KWSP beli bangunan di Poland

Amin Iskandar7 years ago1st Sep 2017Berita
Img 8905  full
Galeria Katowicka dibuka kepada umum pada September 2013 dan memiliki kawasan yang boleh disewakan seluas 53,000 meter persegi dengan 250 penyewa.– Gambar Galeria Katowicka, 1 September, 2017.
Iklan

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) bimbang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikatakan sedang meninjau untuk membeli sebuah bangunan pusat membeli belah terkemuka di Poland.

Mereka berkata pelaburan yang bakal dilakukan KWSP ini berisiko tinggi dan pemegang amanah golongan pekerja di Malaysia itu harus membuktikan ia benar-benar mendatangkan keuntungan.

Ahli Strategi DAP Liew Chin Tong berkata, pelaburan dalam spekulasi hartanah luar negara berisiko tinggi dan membimbangkan.

“Ini mengingatkan saya tentang pelaburan Felda dalam membeli hotel di luar negara,” kata ahli Parlimen Kluang itu kepada The Malaysian Insight.

Berita Harian hari ini melaporkan tindakan KWSP itu bertujuan untuk memaksimumkan pulangan dengan mengembangkan pelaburan hartanahnya di rantau Eropah Timur.

Memetik sumber, laman web berita itu melaporkan KWSP melalui firma pelaburan miliknya di Eropah, KWASA Europe, sudah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa Poland untuk kebenaran membeli pusat membeli-belah Galeria Katowicka daripada Meyer Bergman.

Menurut Liew, KWSP kini sudah banyak membuat pelaburan, lebih 30 peratus daripada dana dipegangnya.

“Pelaburan luar negara merupakan refleksi peluang pelaburan dalam negara tidak memberikan pulangan yang memuaskan.

“Ini juga merupakan refleksi ekonomi Malaysia tidak berada dalam keadaan baik,” katanya.

The Straits Times melaporkan hari ini penganalisis ekonomi Dr Bruce Gale sebagai berkata ekonomi Malaysia di bawah Perdana Menteri Najib Razak berada pada kedudukan baik.

Menurut Berita Harian, walaupun tiada sebarang nilai didedahkan buat masa ini, berdasarkan penilaian pasaran semasa, harganya adalah sekitar 300 juta euro (RM1.53 bilion).

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang menggesa KWSP menjelaskan apa kepentingan strategik dalam pelaburan terbaru ini.

“Kita harus diyakinkan bahawa pelaburan ini boleh benar-benar mendatangkan keuntungan.

“Banyak lagi jenis pelaburan yang boleh KWSP lakukan, mengapa nak melabur dalam projek berisiko tinggi,” soal ahli Parlimen Batu itu.

Chua yang mesra dengan panggilan Tian Chua juga mengingatkan KWSP ia memegang amanah golongan pekerja di Malaysia.

“KWSP harus hati-hati di atas tanggungjawab ini,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pula berkata kejadian sebelum ini, khususnya melibatkan pembelian hartanah oleh Felda Investment Corporation (FIC) membuatkan umum berwaspada menerima berita ini.

“Saya menggesa pihak KWSP untuk segera menyatakan nilai sebenar yang akan dibayar KWSP kepada firma Meyer Bergman (pemilik Galeria Katowicka) untuk pembelian ini.

“Bagaimana KWSP akan membayar untuk pembelian aset ini dan apakah risiko yang bakal dialami KWSP dan rakyat Malaysia,” soalnya.

Berita Harian melaporkan Galeria Katowicka dibuka kepada umum pada September 2013 dan memiliki kawasan yang boleh disewakan seluas 53,000 meter persegi dengan 250 penyewa.

Ia dibangunkan dengan kos 240 juta euro (RM1.224 bilion) oleh sebuah konsortium empat syarikat termasuk Meyer Bergman, yang kemudian membeli semua baki ekuiti dalam Galeria Katowicka daripada tiga syarikat lain.

Laporan itu juga menyebut cadangan pembelian bangunan ini bukan pelaburan pertama KWSP dalam pasaran hartanah di Poland kerana sebelum ini ia pernah membeli bangunan di Warsaw pada harga 186 juta euro (RM948.89 juta).

Awal Ogos lalu, KWSP dilaporkan menuai hasil pelaburan hartanah di London apabila menjual bangunan pejabat miliknya di Tower Bridge House kepada syarikat Mirae Asset Global Investment Group yang berpejabat di Seoul, Korea Selatan pada harga £205 juta (RM1.15 bilion).

Berita Harian melaporkan penjualan itu mendatangkan keuntungan RM360 kepada KWSP hasil kenaikan harga hartanah dan tukaran asing.

KWSP awal tahun ini mengumumkan hasrat menjual hartanah yang dibeli di London bagi “menuai hasil pelaburan”.

“Kami akan menjual aset pelaburan apabila nilai hartanah tinggi dan berasaskan kitaran pasaran,” kata KWSP, sementara keuntungan pelaburan itu dibawa balik manakala modalnya dilabur semula dalam pelaburan lain.

KWSP, yang juga mempunyai pelaburan hartanah di Australia, baru-baru ini membeli 49% kepentingan dalam sebuah syarikat hartanah di negara itu yang memegang hak membangunkan sebuah projek di selatan Melbourne. – 1 September, 2017.

Iklan
Iklan