Musa Aman fail rayuan kes status ketua menteri Sabah
Iklan
MUSA Aman memfailkan rayuan berkaitan kes kesahan ketua menteri Sabah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang November lalu memihak kepada musuhnya, Mohd Shafie Apdal.
Sumber hampir dengan pasukan peguam Musa memberitahu The Malaysian Insight yang mereka sedang menunggu mahkamah menetapkan tarikh mendengar rayuan kes itu.
“Ya, kami sudah failkan rayuan tetapi masih belum dapat tarikh mahkamah lagi,” kata sumber.
Pada 7 November lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman Musa, bekas ketua menteri terhadap Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin dan Shafie berkaitan pelantikan Shafie sebagai ketua menteri pada 12 Mei lalu.
Mahkamah turut mengarahkan Musa membayar RM15,000 kos mahkamah masing-masing kepada Juhar dan Shafie.
Musa memfailkan saman tersebut pada Jun memohon campur tangan mahkamah untuk mengiktiraf pelantikannya selaku ketua menteri oleh Juhar pada 10 Mei sebagai sah.
Musa yang ketika itu adalah pengerusi Barisan Nasional Sabah, pada mulanya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei dihadapan Juhar selepas mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Bagaimanapun, beliau hilang majoriti selepas beberapa Adun daripada partinya-Umno- dan parti komponen BN, Upko, berpaling tadah kepada Warisan, menyebabkan Shafie dilantik pada 12 Mei. – 10 Februari, 2019.