Iklan

Kontrak ditamatkan, konsensi saman Jabatan Air Sabah

Jason Santos6 years ago10th Feb 2019Berita
Ethnic tatana014
Enam syarikat konsensi ditamatkan kontrak mereka oleh Jabatan Air Sabah, dua daripadanya sudah memfailkan saman, yang lain dikatakan akan turut serta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2019.
Iklan

SEKURANG-KURANGNYA dua bekas syarikat konsensi air Sabah akan memfailkan saman terhadap Jabatan Air Sabah kerana menamatkan kontrak mereka bulan lepas.

Beberapa bekas syarikat konsensi lain juga dijangka mengikut jejak menyaman agensi itu kerana kontrak jangka panjang mereka ditamatkan.

Pada 15 Januari lalu, jabatan itu menamatkan 20 kontrak diberikan kepada enam syarikat untuk menyelia 58 tapak rawatan di seluruh Sabah.

Kontrak itu dianugerahkan kepada mereka oleh pentadbiran Barisan Nasional pada 2013.

Enam syarikat tersebut ialah Arawira Sdn Bhd, Yuda Water Sdn Bhd, Akal Kukuh Sdn Bhd, Sahabat Megajuta Sdn Bhd, Harmony Water Sdn Bhd dan BYT Vision Sdn Bhd.

Syarikat yang memfailkan saman itu ialah Arawira dan sebuah lagi tidak dinamakan.

Dalam writ saman difailkan Arawira, syarikat itu menamakan pengarah Jabatan Air Sabah dan kerajaan negeri selaku defendan pertama dan kedua.

Sumber jabatan mengesahkan menerima saman itu pada 7 Februari lalu tetapi menunggu menteri bertanggungjawab untuk membuat pengumuman.

Menteri bertanggungjawab ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony.

Sumber mengesahkan mereka sudah menerima dua saman, salah satunya daripada Arawira.

Beliau enggan mendedahkan nama syarikat kedua.

“Saya tak teliti butiran writ, tetapi saya dinasihatkan majukannya kepada Pejabat Peguam Negeri,” jelas sumber.

Tahun lepas, jabatan itu mematuhi arahan Anthony untuk mengkaji semua kontrak yang ditawarkan dan menemui kekhilafan.

Anthony berkata kontrak itu menyebabkan kerajaan negeri membayar RM15.5 juta sebulan, penamatan kontrak boleh membantu kerajaan menjimatkan sehingga RM10 juta sebulan.

Beliau juga berkata, ia adalah sebahagian usaha membaik pulih jabatan yang sebelum ini terheret dalam skandal pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit. – 10 Februari, 2019.

Iklan
Iklan