Shafie janji laksana pembaharuan di Sabah
Iklan
KETUA Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal berjanji melaksanakan pembaharuan dalam pembangunan jalan dan perancangan bandar di Sabah.
Beliau berkata, kelulusan pembangunan tidak akan mengambil masa lebih dari setahun kerana jika lewat akan memberi kesan buruk kepada pelabur.
“Kelulusan pelan pembangunan (DP) mesti dilakukan secepat mungkin, sekurang-kurangnya dalam seminggu.
“Jangan ambil masa berbulan atau bertahun. Tetapi dalam usaha mempercepatkan kelulusan, kita harus patuhi undang-undang,” katanya dalam ucapannya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Azis Jamman di Kota Kinabalu, hari ini.
Turut hadir, anggota kabinet negeri.
Kenyataan Shafie itu seolah-olah ditujukan kepada Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Wilayah.
The Malaysian Insight baru-baru ini melaporkan terdapat penyalahgunaan kuasa dan salah urus di Lembaga Pusat yang bertindak menangguhkan kelulusan DP.
Shafie berkata, hanya dengan menambah baik sektor awam dapat membantu pelabur Sabah menjana kejayaan dan pekerjaan untuk penduduk tempatan.
Beliau berkata, ia tidak dapat dilakukan sekiranya terlalu banyak peraturan atau Napoleon Kecil dalam sektor awal.
“Jika masih ada masalah dan penangguhan (dalam meluluskan DP), datang ke pejabat saya dan kita akan tengok apa yang terbaik untuk projek ini,” katanya.
Tambahnya, beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memaklumkannya sekiranya ada mana-mana pihak dalam sektor awam terlibat dalam amalan rasuah supaya tindakan segera dapat diambil. – 10 Februari, 2019.