Shafie Apdal rayu Bersatu jangan masuk Sabah
Iklan
PEMIMPIN Parti Warisan Sabah, Mohd Shafie Apdal, yang juga Menteri Besar negeri itu hari ini mengulangi seruannya supaya parti Bersatu yang berpangkalan di semenanjung Malaysia tidak masuk ke Sabah.
Shafie berkata ini adalah janji yang dibuat oleh Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.
“Saya telah jumpa Dr Mahathir dan memberitahu apa yang terbaik ialah penyusunan yang kita sudah bincang sebelum PRU14, dan saya berharap ia akan berterusan menjangkaui pilihan raya,” kata Shafie kepada pemberita pada Perayaan Tahun Baru Cina Tanjung Aru di Kota Kinabalu, hari ini.
Presiden Warisan itu berkata kedua-dua parti itu adalah “saudara” dan menyifatkan kehadiran Warisan di Sabah sebagai sama seperti Bersatu datang ke Sabah.
Bersatu secara rasmi merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan. Warisan bagaimanapun tidak bersama dalam gabungan PH namun mempunyai permuafakatan dengan gabungan kerajaan itu.
“Satu-satunya perbezaan ialah Warisan adalah parti berbilang kaum sementara Bersatu tidak.
“Namun, Warisan mempunyai sokongan masyarakat Bumiputera seperti Bersatu,” tambah Shafie.
Shafie membuat kenyataannya hari ini berikutan kenyataan yang bercanggah oleh beberapa pemimpin mengenai rancangan untuk menubuhkan Bersatu di Sabah.
Ini termasuk Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin dan bekas ketua pengerusi perhubungan Umno Sabah, Hajiji Mohd Noor, yang kini keluar daripada Umno.
Tahun lepas, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, selain Dr Mahathir sendiri, berkata, Bersatu tidak akan menubuhkan cawangan di Sabah.
Namun baru-baru ini Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu kini bersedia menyebarkan sayapnya ke Sabah.
Pada bulan Disember tahun lalu, Dr Mahathir menegaskan bahawa Bersatu tidak akan masuk ke Sabah, bagaimanapun dua hari yang lalu beliau berkata keputusan itu tidak muktamad.
Shafie berkata kehadiran Bersatu di Sabah tidak perlu kerana politik negara telah stabil, dengan Warisan memegang 45 daripada 60 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya berharap, bolehlah, kita terus pegang kepada apa yang telah kita setuju. Masalah Sabah yang terbaik ditangani dari perspektif negeri sendiri,” katanya. – 10 Februari, 2019.