Iklan

Insiden Jambatan Pulau Pinang, pemandu Vios mengaku tidak bersalah

Looi Sue-Chern6 years ago11th Feb 2019Berita
Psx 20190211 085839
Pemandu Toyota Vios, Vaitheswaran mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu laju menyebabkan kematian bekas rakan sekolahnya. - Gambar David ST Loh, 11 Februari, 2019.
Iklan

PEMANDU Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang bulan lalu dituduh menyebabkan kematian bekas rakannya sekolah kerana memandu laju.

M Vaitheswaran berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap di mahkamah Bukit Mertajam, pagi tadi.

Atas kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dia berdepan maksimum penjara 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Insiden pelanggaran itu direkod dari kamera ‘dashcam’ milik pengguna jalan raya lain  menyebabkan kereta Mazda berkenaan berpusing dan hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam laut.

Moey Yun Pen yang terperangkap di dalam kereta SUV berkenaan maut akibat lemas. Kenderaan dan mayat mangsa dikeluarkan dari laut tiga hari kemudian.

Dilaporkan sebelum ini Vaitheswaran dan Moey menghadiri majlis sambutan ulang tahun rakan mereka di Georgetown.

Kedua-duanya dalam perjalanan pulang ketika kemalangan berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amir Abdul Karim meminta mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan alasan jumlah itu munasabah dengan kes serius berkenaan.

Namun peguam Vaitheswaran, S Parameswaran meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 kerana keluarga tertuduh kurang berkemampuan.

Katanya, bapa tertuduh bekerja sebagai juruelektrik dan memperoleh gaji bulanan RM2,500 manakala ibunya suri rumah.

Parameswaran berkata, anak guamnya itu mempunyai dua beradik.

Beliau juga berkata Vaitheswaran memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk siasatan dan tidak perlu direman.

“Jumlah jaminan tidak boleh berlebihan tetapi cukup untuk memastikan dia hadir ke mahkamah,” katanya.

Jamaliah menetapkan jaminan RM7,000 dan seorang penjamin.

Sebutan semula kes pada 18 Mac depan.

Dia juga mengarahkan lesen memandu Vaitheswaran digantung dan mengarahkannya melaporkan diri ke balai polis terdekat sekali setiap bulan sepanjang tempoh perbicaraannya. – 11 Februari, 2019.

Iklan
Iklan