Industri sirip ikan yu masih wujud di Sabah
Iklan
JUMLAH ikan yu daripada pelbagai spesis yang didaratkan di jeti Pemasaran Ikan Sabah (Safma) di Kota Kinabalu membuktikan ia bukan tangkapan yang tidak dimahukan, sebagaimana yang ditegaskan Jabatan Perikanan.
Ia dijual untuk keuntungan.
Seawal jam 3 pagi, ikan yu dibawa ke jeti oleh beberapa pekerja yang menarik beberapa bakul yang dipenuhi ikan berkenaan dan mula memotong siripnya.
Sisanya disimpan di dalam bakul manakala siripnya diasingkan ke bakul lain.
Bebeberapa jam kemudian, The Malaysian Insight melihat dua buah lori memasuki kawasan jeti, satu daripadanya dipenuhi sirip ikan yu manakala satu lagi dipenuhi sisa ikan berkenaan.
Ketika dihampiri, pekerja terbabit berkata sirip berkenaan akan dikeringkan di kompleks kedai berhampiran dan dibungkus untuk pelanggan.
“Ia tidak dijual secara terbuka kerana pengharamannya. Mereka hanya menjual sekiranya ada yang datang dan bertanya.
“Pelanggan biasanya terdiri daripada warga China yang mencari sajian itu di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Terdapat 50 spesis ikan yu dan 66 spesis ikan pari di perairan Sabah.
Menurut Jabatan Perikanan, ikan yu dan pari biasanya ditangkap secara tidak sengaja oleh bot pukat tunda, yang bertanggungjawab ke atas hampir 70% tangkapan diikuti pukat hanyut, rawai dan pancing.
Pada 2017, 697 tan metrik tangkapan ikan yu (0.43%) dan 1,507 tan metrik tangkapan ikan pari (0.93%) direkodkan oleh jabatan itu.
Sabah sedang menggubal undang-undang pengurusan perikanan baharu yang memfokuskan kepada perlindungan ikan yu, ikan pari dan hidupan marin terancam lain.
Buat masa ini, negeri itu tidak mempunyai undang-undang untuk melindungi haiwan berkenaan, yang semakin pupus.
Satu-satunya undang-undang yang mengawal selia industri adalah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 dan Akta Perikanan 1985, yang kini dipinda.
Jabatan itu juga sedang mewartakan ikan yu tukul, yu tukul lembut, pari lang, pari lang gergasi, dan jerung sirip putih dalam senarai haiwan dilindungi. – 11 Februari, 2019