Perang dagangan AS-China beri manfaat kepada Malaysia, kata Guan Eng
Iklan
MESKIPUN Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran mengenai perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Perang dagangan itu katanya, masih boleh memberi keuntungan kepada Malaysia dan angka ekonomi negara menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan yang lebih baik, manakala pelabur menyatakan mereka berminat untuk datang melabur.
“Sudah pasti akan ada sedikit kesan, tetapi jangan lupa, Malaysia adalah salah sebuah negara yang akan mendapat mafaat dalam jangka pendek daripada perang perdagangan antara China dan AS.
“Mereka mahu cari negara ketiga yang selamat dan lokasi pelaburan yang neutral. Jadi, dalam jangka pendek, kita akan mendapat manfaat.
“Dalam jangka panjang pula, ia mungkin berbeza. Kita harap (perang dagangan) akan diselesaikan tidak lama lagi. Tapi dalam jangka pendek, kita masih akan dapat manfaatnya,” kata Lim selepas menghadiri satu majlis di Bagan, Pulau Pinang malam ini.
Ahli Parlimen Bagan itu mengulas kenyataan Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai semalam bahawa pertumbuhan ekonomi dunia akan menjadi lebih perlahan daripada jangkaan berikutan ketegangan perdagangan dan kenaikan tarif, pengetatan kewangan, ketidaktentuan kesan Brexit serta kesan limpahan dan kelembapan ekonomi China.
Lagarde juga memberi amaran mengenai risiko akibat kos pinjaman yang meningkat serta hutang besar kerajaan, firma dan isi rumah.
Pada bulan lepas, IMF menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2019 daripada 3.7% kepada 3.5%. – 11 Februari, 2019.