Berikan Rohingya hak bersuara tak bermakna Myanmar dikritik
Iklan
MEMBERIKAN pelarian Rohingya kebebasan bersuara di sini bukannya bermakna mereka mengkritik Myanmar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low.
“Kita ada ramai masyarakat Rohingya di negara ini dan mereka mahu ruang untuk bersuara. Saya tidak fikir ada sekatan untuk mereka meluahkan perasaan secara aman dengan syarat mematuhi undang-undang kita,” katanya.
Pengerusi Suhakam Razali Ismail yang senada dengan Low berkata sudah tiba masanya untuk orang ramai dapat kebebasan bersuara di Malaysia.
“Sudah tiba masanya rakyat dan mereka yang berada di sini dapat kebebasan bersuara,” kata Razali pada sidang akhbar selepas perasmian persidangan Demokrasi di Asia Tenggara. Persidangan itu dirasmikan bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Berhubung isu Malaysia beralih daripada politik berasaskan kaum, Low optimistik tentangnya.
“Ia mungkin boleh terutama jika terdapat lebih ramai pengundi muda. Terdapat 3.8 juta golongan muda yang tidak berdaftar sebagai pengundi.
“Belia yang berpendidikan dan ada kesedaran tentu tidak mahu dengan politik berdasarkan kaum dan agama,” katanya.
Low berkata Sabah dan Sarawak contoh terbaik keadaan itu.
“Rakyat di Sabah dan Sarawak berfikir secara berbeza dengan masyarakat di semenanjung.
“Isu politik kaum di sana kurang berbanding di sini.
“Jika rakyat mahu parti politik menjauhi agenda perkauman dan agama, maka ia akan berubah,” kata Low.
Dalam ucapannya pada persidangan itu, Low berkata cabaran terbesar untuk negara ini ialah beralih daripada politik berdasarkan kaum dan agama serta amalan demokrasi yang lebih pelbagai parti dengan melihat isu berkaitan kepentingan umum. – 2 September, 2017.