Pesuruhjaya hak asasi Filipina dihalang masuk kerana sertai program melibatkan Bersih
Iklan
DEK kerana salah faham kerana beliau menyertai satu program melibatkan Bersih, seorang pengerusi suruhanjaya hak asasi manusia dari Filipina dihalang memasuki negara ini selama enam jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
“Semua sudah selesai, saya tak mahu perbesarkan hal ini. Mungkin pihak berkuasa harus mengkaji semula bagaimana memasukkan seseorang individu ke dalam senarai mereka yang dihalang masuk ke Malaysia,” kata Chito Gascon, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina memberitahu The Malaysian Insight hari ini.
Gascon dihalang memasuki ke Malaysia untuk sementara sebaik tiba dari Manila pada 5.30 petang semalam. Beliau hanya dibenarkan meninggalkan KLIA pada lewat malam.
Beliau berada di sini bagi menghadiri persidangan serantau mengenai Demokrasi di Asia Tenggara anjuran Suhakam dan Yayasan Kofi Annan bermula hari ini. Persidangan itu akan berakhir esok.
Semasa ketibaannya di lapangan terbang, beliau dihalang masuk oleh Imigresen. Gascon kemudian diberitahu oleh pegawai cawangan khas di lapangan terbang tentang halangan itu atas alasan penyertaannya dalam perhimpunan haram.
“Saya tidak menyertai mana-mana perhimpunan. Saya ditanya jika saya tahu Bersih, saya kata ya kerana saya ada beberapa rakan dalam organisasi itu.
“Saya ada menghadiri majlis di mana Bersih dianugerahkan Hadiah Gwangju untuk Hak Asasi Manusia oleh Yayasan Memperingati 18 Mei Korea pada tahun lepas. Pengerusi bersih tidak boleh ke Korea, jadi mereka adakan majlis itu di Kuala Lumpur. Ramai pemimpin suruhanjaya yang dijemput.
“Tetapi itu bukannya perhimpunan haram,” kata Gascon.
Beliau juga dikaitkan dengan satu kejadian setiausaha kumpulan hak asasi Odhikar, Adilur Rahmah Khan dari Bangladesh yang baru-baru ini dihalang masuk di KLIA pada 20 Julai. Adilur berada di Malaysia bagi memghadiri persidangan dua hari anjuran Anti-Death Penalty Asia Network.
“Saya lalui pengalaman yang menyenangkan di sini. Saya tidak ditahan dan bebas di sekitar lapangan terbang sementara menunggu Suhakam menyelesaikan hal itu,” katanya. Sebelum ini, beliau telah beberapa kali bertandang ke Malaysia tanpa sebarang insiden.
Ketua kumpulan pembantah dari Hong Kong yang juga merupakan remaja paling berpengaruh majalah Time 2014, Joshua Wong juga dihalang memasuki Malaysia pada 2015.
Dia ditahan di Pulau Pinang sebelum dihantar pulang ke Hong Kong. Bagaimanapun, alasan beliau dihalang masuk tidak diketahui.
Senator Nick Xenophon juga dihantar pulang pada Februaru 2013 sebaik saja tiba di KLIA. Selepas ditahan selama 16 jam, ahli politik itu dihantar pulang ke Australia dengan penerbangan pertama.
Xenophon dihalang masuk atas alasan penyertaannya dalam perhimpunan Bersih 2012. Bagaimanapun, menurut Xenophon, kehadirannya dalam perhimpunan itu adalah sebagai pemerhati. – 2 September, 2017.