Pengarah gugur perkataan 'seks' pada tajuk teater selepas dikecam
Iklan
PENGARAH dan penulis drama, Fa Abdul menggantikan perkataan “seks” dengan “cinta” dalam tajuk karya terbaharunya selepas menerima respons negatif daripada pengguna media sosial.
Teater oleh Big Nose Productions kini akan dikenali sebagai “Love in Georgetown City” yang akan dipersembahkan di Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (penangpac) hujung minggu Hari Valentine ini. Ia berlangsung dari 14 hingga 17 Februari bagi penonton berumur 16 tahun ke atas.
Perubahan tajuk itu dibuat selepas tajuk asalnya menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak, yang membawa kepada kritikan di media sosial.
Dalam satu kenyataan semalam, Fa meminta maaf kepada penduduk Pulau Pinang dan rakyat Malaysia kerana terlepas pandang berhubung dengan tajuk yang mengelirukan.
Beliau berkata tidak pernah bermaksud untuk menyinggung sensitiviti agama atau budaya tetapi dalam industri kreatif, insiden itu tidak dapat dielakkan.
“Persembahan itu ini terdiri daripada 10 sketsa. Setiap sketsa berlangsung sehingga lapan minit. Seperti semua drama saya terdahulu di penangpac sejak empat tahun lalu, tujuan saya adalah untuk mendidik orang ramai mengenai isu sosial dengan cara yang menghiburkan dan bermaklumat,” kata Fa.
“Sketsa ini memaparkan isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara kita termasuk hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, dan kecurangan.
“Ia tidak menyimpang atau eksploitatif, sebaliknya mencerminkan cabaran dan kebiasaan budaya kita.”
Fa berkata, pertunjukan sebelumnya menerima maklum balas “sangat positif” dan “menghasilkan perbincangan dan perbahasan yang sihat”.
Beliau berharap masalah karya terbarunya ini akan selesai dengan perubahan tajuk.
Fa berkata beliau akan menghubungi Timbalan Ketua Menteri, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, yang juga exco hal ehwal Islam, menjelang sebarang pertunjukan pada masa depan di Pulau Pinang bagi mendapatkan bimbingan.
Tike persembahan komedi beliau, yang pada asalnya berjudul “Sex in Georgetown City”, habis terjual bagi beberapa slot pada dua hari pertama, menurut catatan halaman Facebook penangpac.
Walaupun populariti persembahan itu, beberapa pengguna media sosial mengecam pihak produksi, dengan beberapa menyebutnya “menjijikkan” dan “lucah” dan yang lain mengheret Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa ke dalam isu itu.
Laman Facebook Kelantan News menulis: “Di mana YB Rahmatan Lil alamin? Adakah ini sejajar dengan maqasid shariah? Adakah anda terlupa Malaysia pernah dilanda bencana dan tsunami?
“Mari kita tanya orang-orang Pulau Pinang, adakah mereka suka menonton filem lucah? Nampaknya mereka sengaja mahu mempromosikan Hari Valentine dan ini boleh menjadikan geng LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender) lebih sombong.”
Kumpulan wanita Islam Perikatan Wanita Antarabangsa Bagi Keluarga Institusi dan Kualiti Pendidikan (Wafiq) juga menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap persembahan itu di laman Facebooknya.
Seorang pengguna Facebook, Sri Pah Zab Idah berkata laporan polis sudah dibuat malam tadi di balai polis Jalan Patani di Pulau Pinang.
“Apa yang berlaku kepada kerajaan sekarang ini? Adakah ini ‘kafir’ atau negara Islam? Adakah mereka tidak takut akan murka Allah?” tambah pengguna media sosial itu.
Dua tahun lalu, Penangpac berdepan masalah dengan kumpulan Islam tempatan kerana mahu menayangkan filem Vietnam “Lost in Paradise”, yang mengandungi unsur homoseksual.
Dituduh menghina Islam, pawagam membatalkan tayangan percuma. – 12 Februari, 2019.