Iklan

Warisan mungkir janji PRU14, rancang bangunkan pantai Tanjung Aru

Jason Santos6 years ago13th Feb 2019Berita
Tgaru11
Kawasan tepi pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu, dikatakan bakal menjadi “tempat terbaik di muka bumi ini” untuk menyaksikan matahari terbenam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 13 Februari, 2019.
Iklan

KERAJAAN negeri Sabah mencuba lagi, buat kali ketiga untuk membangunkan kawasan tepi pantai Tanjung Aru di Kota Kinabalu, dikatakan bakal menjadi “tempat terbaik di muka bumi ini” untuk menyaksikan matahari terbenam.

Ketua Menteri Shafie Apdal dua hari lalu memberikan sedikit gambaran pelan pembangunan itu, berjanji akan mengehadkan bangunan baharu hanya di bahagian utara kawasan tanjung itu yang menghadap Laut China Selatan.

Shafie mengambil langkah berhati-hati untuk tidak mendedahkan pelan itu secara terperinci.

Rancangan untuk membangunkan Tanjung Aru oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum ini mendapat bantahan keras susulan ia akan menyebabkan semakin hilang kawasan awam, kurangnya ketelusan projek itu dan cadangan penambakan laut.

Pada 2013, kerajaan BN mencadangkan projek pembangunan bernilai RM1.7 bilion yang dikenali sebagai Tanjung Aru Eco Development (TAED). RM1.8 bilion lagi untuk penambakan kawasan pantai.

Dalam pelan asal, pembangunan itu akan membentuk empat zon untuk tepi pantai, Taman Prince Phillip, Prince Philip Wharf, Aru Gateway, Kampung Aru, Aru Oceanfront, Aru Marina and Golf Retreat, selain pembinaan terusan sepanjang projek sepanjang 5km hingga 6km.

Padang golf juga akan direka oleh pemain golf profesional Greg Norman.

Rancangan itu termasuk pembinaan beberapa hotel berjumlah 1,800 bilik, 22 pembangunan kediaman dengan lebih 4,000 rumah baharu, satu taman tema air, laluan basikal khas dan laluan bas elektrik.

Projek TAED menjadi modal politik Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 13 Februari, 2019.

Bagi penambakan itu, kerja tanah akan dimulakan di lokasi 55km ke laut, sementara pagar banjir akan dibina untuk mengawal paras air di dalam terusan bagi mengelak hakisan tanah ketika air pasang surut, selain ombak kuat.

Pelan yang hebat itu akan menjadikan Tanjung Aru sebagai tempat orang kaya. Mereka yang membantah mahukan kawasan pantai di tanjung itu yang terletak hanya lima minit dari pusat bandar Kota Kinabalu, dikekalkan dan boleh dikunjungi secara terbuka oleh orang awam. Pada masa ini hanya satu hotel utama di hujung tanjung itu, iaitu Shangri-La.

Setiap petang, penduduk tempatan dan pelancong bersiar-siar di Taman Prince Philip yang bersambung dengan pantai Tanjung Aru, menikmati pemandangan indah dan deruan ombak.

Pada waktu petang, peniaga mula membuka gerai menjual makanan dan minuman di sepanjang 1.3km di depan pantai itu. Ratusan pengunjung akan duduk menjamu selera sambil menanti matahari terbenam di Laut China Selatan.

Penduduk tempatan bimbang jika tanjung itu dibangunkan, suasana meriah seperti itu akan lenyap, begitu juga burung dari taman berhampiran.

Projek TAED itu menjadi modal politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu.

Pemimpin dari Parti Warisan Sabah yang diterajui Shafie, ketika cuba menggulingkan kuasa BN di negeri itu, berjanji untuk menghentikan projek itu ketika berkempen.

Junz Wong, yang kini Adun Tanjung Aru dan juga menteri negeri selain naib presiden Warisan, ketika berkempen untuk PRU14, berjanji untuk menghentikan projek itu.

Rancangan untuk membangunkan Tanjung Aru oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional sebelum ini mendapat bantahan keras susulan ia akan menyebabkan semakin hilang kawasan awam, kurangnya ketelusan projek itu dan cadangan penambakan laut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 13 Februari, 2019.

Kini, selepas pengumuman Shafie pada Sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, jelaslah kerajaan negeri ada rancangan untuk membangunkan kawasan tepi pantai itu, walaupun dalam skala lebih kecil.

Shafie berkata hanya sebahagian pertama atau bahagian utara pantai itu akan dikhususkan untuk resort dan hotel.

“Bahagian selatan tepi pantai itu akan dibangunkan sedikit untuk menarik pelancong. Tetapi sebahagian besar kawasan pantai itu tidak akan diusik.”

Shafie berkata projek itu terlalu penting untuk diabaikan, dan pelaburan diperlukan untuk menjana peluang pekerjaan bagi penduduk Sabah.

“Kira-kira 3,000 rumah akan dibina untuk menempatkan penduduk Tanjung Aru yang mungkin terjejas akibat pembangunan bercampur itu dalam projek yang dikaji semula itu,” katanya.

Walaupun belum ada maklumat terperinci, semakan semula pembangunan Tanjung Aru mungkin diteruskan, memungkiri janji Warisan pada PRU14.

Kumpulan alam sekitar setakat ini belum mengulas pengumuman terbaru Shafie itu.

Pada 2014, selepas kerajaan BN pada masa itu mengumumkan TAED, beberapa persatuan sivil bergabung membentuk Kumpulan Tindakan Tanjung Aru 2.0. Kumpulan itu terdiri daripada WWF-Malaysia, Himpunan Hijau, Land Empowerment Animals People (LEAP), PACOS Trust, Pusat Belia Youth-PREP Alamesra (YPC), Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Kumpulan Tindakan Sumber Wanita Sabah dan Save Open Spaces Kota Kinabalu. – 13 Februari, 2019.

Iklan
Iklan