Iklan

Amanah tak bimbang makin ramai ahli Parlimen masuk Bersatu

Jason Santos6 years ago12th Feb 2019Berita
Sabu
Apa yang lebih penting ialah menguatkan Pakatan Harapan, berbanding mengira parti komponen mana yang mempunyai lebih ramai ahli Parlimen, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 Februari, 2019.
Iklan

JUMLAH ahli Parlimen yang semakin ramai masuk Bersatu tidak membimbangkan Amanah, kata Presiden parti, Mohamad Sabu.

Beliau berkata apa yang lebih penting ialah menguatkan pakatan itu, berbanding mengira parti komponen mana yang mempunyai lebih ramai ahli Parlimen.

“Kita tak bimbang. Apa yang lebih penting ialah parti komponen bersatu padu.

“Menambahkan sokongan orang Melayu di Semenanjung juga penting bagi PH.

“Lagipun, saya tak pernah dengar Pengerusi PH (Dr Mahathir Mohamad) janjikan kedudukan kepada ahli Parlimen yang masuk partinya,” kata menteri pertahanan itu ketika ditemui di Dewan Perkumpulan Wanita di Sembulan, Kota Kinabalu hari ini.

Mohamad mengulas laporan enam ahli Parlimen dari Umno yang masuk Bersatu siang tadi.

Mereka adalah Hamzah Zainuddin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Ikmal Hisham (Tanah Merah), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Faisah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Latiff Ahmad (Mersing).

Kesemua mereka hadir pada majlis simbolik penyerahan kad keahlian parti yang disampaikan oleh Dr Mahathir, kecuali Rosol.

Ahli Parlimen ketujuh, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) juga menerima kad keahliannya walaupun telah menyertai Bersatu pada tahun lepas.

Dengan perkembangan terbaru itu, Bersatu kini mempunyai 22 wakil rakyat, manakala Amanah, 11.

Mohamad hari ini menerima 3,000 ahli baru bagi Amanah Sabah, yang setakat ini mempunyai 10 bahagian di negeri itu. – 12 Februari, 2019.

Iklan
Iklan