Iklan

Penyokong Pakatan berang Bersatu terima pemimpin Umno 

Looi Sue-Chern6 years ago13th Feb 2019Berita
Tun m bersatu tmikamal 04
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika mengumumkan penyertaan tujuh bekas pemimpin Umno ke parti itu semalam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Februari, 2019
Iklan

KETIKA Bersatu mengalu-alukan penyertaan ahli Parlimen Umno ke Pakatan Harapan, segelintir ahli politik dan penyokongnya sendiri menyifatkan ia sebagai Umno 2.0.

Tinjauan di media sosial menunjukkan mereka meluahkan kekecewaan dan merasa tertipu serta mempersoalkan sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dengan mudahnya membuat “pusingan U” yang mana sebelum ini beliau menyatakan PH tidak akan menerima bekas pemimpin Umno.

Terdapat juga yang berpandangan positif berhubung langkah Dr Mahathir, dan mengatakan perdana menteri memerlukan lebih ramai ahli Parlimen dalam Pakatan untuk membuat pembaharuan sebagaimana yang dijanjikan kerajaan baharu tanpa sebarang masalah di Parlimen.

Bagaimanapun, antara suara yang tidak menyenangi langkah itu adalah anggota kabinet Dr Mahathir sendiri, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming dari DAP.

Ramai lagi yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap langkah itu seperti pengguna Twitter  Aged, not old.(@kptanb) yang membalas kenyataan Ong dan menyatakan dirinya merasa tertipu. 

Shahmi Zamarano (@EncheMarchisio) turut menyatakan simpati kepada Ong manakala Nizman Lee mencadangkan DAP meninggalkan PH sebagai tanda protes.

Mairzy Doats (@Mordff_Nit) berkata, beliau menyangkakan PH lebih progresif dan tahu apa yang perlu dilakukan, namun kini pakatan itu menunjukkan ia tidak sebaik Umno. 

Tujuh pemimpin Umno yang menyertai Bersatu, yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, semalam adalah Hamzah Zainuddin (Larut), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Shahbudin Yahya (Tasek Gelugor) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Sementara itu di Facebook, ramai juga yang memberi reaksi dengan kenyataan Naib Presiden PKR Chang Lih Kang, yang menyatakan parti PH perlu berhenti mengambil ahli Parlimen BN sebagai ahli.

Chang berkata, ia amat mengejutkan apabila melihat Dr Mahathir gembira dengan pengumuman semalam apabila beliau sendiri pada Mei tahun lalu menyatakan PH tidak akan terima bekas pemimpin Umno.

“Amat mengecewakan bahawa tidak sampai setahun, Dr Mahathir mungkir janji.

“Sebagai ahli Parlimen PH, saya menggesa semua parti komponen PH untuk berhenti menerima bekas ahli Parlimen BN, kerana ia mencerminkan imej buruk kerajaan pemerintah,” kata ahli Parlimen Tanjung Malim itu.

Pengguna Facebook, Mohd Wari menyifatkan “Atuk” - merujuk kepada Dr Mahathir - adalah “pakar pusingan U”.

Walaun United berkata sekiranya PAS menerima ahli Parlimen Umno, PH perlu umumkan kepada dunia bahawa parti Islam itu menyokong penyamun.

 Turut memberi maklum balas kenyataan Chang adalah pengguna Facebook Sreekant Pillai yang memberi pandangan berbeza, menyatakan pemimpin PKR tidak gembira kerana pembelot Umno masuk Bersatu, menambahkan lagi bilangan ahli Parlimennya di Dewan Rakyat. 

“Kamu mungkin akan ok jika (presiden PKR) Anwar (Ibrahim) terima mereka ke dalam PKR tetapi memandangkan Bersatu terima mereka dan mungkin akan lebih kuat berbanding PKR, kamu tidak gembira mengenainya. 

“Jadi tak ada kena mengena dengan Dr Mahathir mungkir janji atau langgar prinsip. Tak ada apa yang nak dilihat, teruskan hidup!” – 13 Februari, 2019

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan