Berterusan diserang, pengarah 'Love in Georgetown City' buat laporan polis
Iklan
PENULIS dan pengarah teater Fa Abdul, yang awal minggu ini terpaksa menukar tajuk persembahannya, membuat laporan polis semalam selepas berterusan diserang dan dituduh menghasilkan “filem lucah”.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata membuat laporan polis di Pulau Pinang petang semalam selepas beliau dan produksinya difitnah.
Karyanya, “Sex in Georgetown City” - komedi yang mula dipersembahkan di Pusat Seni Persembahan Pulau Pinang (Penangpac) di Straits Quay esok hingga Ahad sempena sambutan Hari Valentine - diberi nama semula “Love in Georgetown City” minggu ini selepas beberapa pihak kurang senang dengan tajuk asalnya.
Beberapa pengguna media sosial di Facebook menuduh Fa mempersembahkan karya lucah.
Walaupun meminta maaf susulan tajuk yang mengelirukan dan menukar nya, serangan terhadapnya berlanjutan, dengan satu kumpulan Islam tempatan merancang mengadakan protes di Straits Quay esok.
Fa berkata beliau juga membuat laporan polis untuk melindungi dirinya, ahli produksi, kakitangan penangpac dan penonton, selepas mengetahui mengenai protes itu.
“Banyak pihak yang menyerang pementasan teater saya dengan pelbagai tohmahan tanpa usul periksa, terutamanya yang mengemukakan tuduhan bahawa saya bakal menayangkan filem lucah yang boleh mendorong masyarakat ke arah maksiat.
“Produksi ini bukanlah penayangan filem, sebaliknya adalah satu pementasan teater; dan initipati cerita teater tersebut adalah untuk mendidik masyarakat mengenai gejala yang berleluasa di segenap lapisan masyarakat menerusi bentuk hiburan.
“Sesungguhnya inilah salah satu cara mendekati golongan muda tempatan, iaitu dengan hiburan. Bak kata sambil menyelam, minum air. Sayangnya hasrat baik ini menerima tentangan hebat tanpa usul periksa terlebih dahulu,” katanya.
Awal minggu ini, Fa menjelaskan beliau tidak pernah berniat menyinggung sensitiviti agama atau budaya melalui karyanya, yang terdiri daripada 10 sketsa berdurasi lapan minit yang bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai isu sosial melalui hiburan.
Katanya, sketsa itu menangani isu sosial seperti hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia dan kecurangan.
“Ia tidak menyimpang atau eksploitatif, sebaliknya mencerminkan cabaran dan idiosinkrasi budaya kita,” katanya. – 13 Februari, 2019.