Penipuan PAS kini patuh syariah, kata pengguna media sosial
Iklan
ALASAN digunakan Nik Abduh Nik Abdul Aziz untuk menafikan yang suara dalam rakaman mengenai PAS mengambil wang daripada Umno adalah beliau diperli pengguna media sosial, yang bertanyakan sama ada parti Islam itu kini mewujudkan “penipuan patuh syariah”.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu semalam mendakwa yang pada mulanya beliau mahu mengakui suara tersebut adalah miliknya, tetapi memutuskan untuk menafikannya atas arahan kepimpinan parti termasuk Presiden Abdul Hadi Awang.
“Ia adalah ucapan dalam majlis tertutup dengan audien tertentu sahaja. Terlalu tertutup. Maka hak saya adalah menjaga kerahsiaan dan tidak sama sekali mengkhianatinya. Kedua-dua pilihan adalah syar’ie,” tulisnya panjang lebar di akaun Facebooknya,
Rakaman suara itu tular tahun lepas sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, ketika itu PAS sedang diserang hebat Pakatan Harapan kerana menerima wang daripada Umno.
Nik Abduh berulang kali menafikan rakaman itu, menyifatkannya tidak masuk akal dan fitnah.
Bagaimanapun, isu itu timbul semula selepas Hadi mencapai penyelesaian luar mahkamah berkaitan saman di London terhadap Sarawak Report, yang menerbitkan berita tersebut pada 2016, mendakwa PAS menerima wang Umno.
Selepas laporan polis dibuat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berita tersebut dan mengambil keterangan beberapa pemimpin PAS, termasuk Nik Abduh.
Awal minggu ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan juga mengesahkan yang suara dalam rakaman itu adalah suara Nik Abduh, tetapi kenyataanya disalah tafsir.
Di media sosial, pengguna mengecam ahli Parlimen Bachok dan pemimpin parti Islam itu kerana menipu dan tergamak memberikan alasan untuk membenarkan penipuan tersebut.
Di Twitter misalnya Adun Serang Dr Siti Mariah Mahmud (@DrSitiMariah) menulis: “Menipu sekarang pun patuh syariah. Malu lah sikit PAS.”
R.H (@ryzwolf) turut mengecam kenyataan “patuh syariah” dikeluarkan Nik Abduh.
“Berkaitan dengan audio Nik Abduh, saya ada soalan hendak ditanya…adakah ‘patuh syariah’ untuk menipus? Akhirnya, menipu untuk melindungi politik yang meragukan dibenarkan dalam parti politik ‘beragama’,” tulisnya.
Wan Ahmad di Facebook pula merasakan Nik Abduh perlu meletak jawatan kerana isu tersebut.
“Isunya bukanlah kandungan rakaman audio, tetapi integriti. Menipu dan kemudiannya mengaku menipu.” – 14 Februari, 2019.