Iklan

Penduduk dan peniaga Pulau Pinang sokong haram produk plastik tunggal

Looi Sue-Chern6 years ago14th Feb 2019Berita
phee boon poh
Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh menggesa premis makanana menghentikan memberi straw kepada pelanggan, melainkan jika diminta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2019.
Iklan

SATU kaji selidik mengenai penggunaan plastik tunggal di Pulau Pinang tahun lepas mendedahkan 76% pengguna di negeri ini menyokong pengharamannya, termasuk straw plastik, kata Penang Green Council (PGC) hari ini.

Kajian PGC bermula dari 1 Ogos hingga 15 September melibatkan 1,948 pengguna dan 231 pengendali perniagaan. Mereka terdiri daripada pelbagai kumpulan pendapatan, mempunyai tahap pendidikan berbeza, dan dari umur 15 hingga 60 tahun.

PGC berkata daripada 76%, 52% menyokong kuat larangan itu sementara 23.6% menyokongnya.

Pembantu penyelidikan PGC Melawati Othman berkata sokongan terbesar bagi larangan itu datang daripada responden berusia 25 hingga 34 tahun manakala mereka yang berusia antara 35 dan 44 adalah dua kali ganda lebih banyak menyokong berbanding menentang larangan itu.

“Mereka yang bekerja juga dua kali ganda lebih cenderung menyokong larangan itu,” katanya ketika membentangkan hasil tinjauan di pejabat exco negeri Phee Boon Poh hari ini.

Sebanyak 10.3% adalah neutral sementara 14.1% menentang larangan seperti di hotel, restoran, kafe dan kedai makanan lain.

Melawati berkata kaji selidik itu juga mendapati kebanyakan pengguna tidak menggunakan plastik sama seperti straw hanya kerana ia mudah didapati, murah dan bersih.

“Hanya 21.4% daripada mereka yang dianggap menggunakannya disebabkan faktor kebersihan manakala 34.8% berkata mereka menggunakannya kerana mudah diperolehi.

“Sebanyak 86.1% juga tidak bersetuju mereka menggunakan barangan tersebut kerana ia murah.

“Kami mendapati 65.1% responden menggunakan barangan ini kerana ia diberikan di hotel dan kedai makanan,” katanya.

Melawati berkata PGC juga mendapati ramai tidak mengitar semula barangan plastik yang mereka gunakan.

Hanya 29.5% mengatakan mereka mengambil barangan rumah untuk dikitar semula atau membuangnya ke dalam tong kitar semula. Bilangan serendah 19.6% berkata mereka menggunakan semula barangan yang ada.

Sementara itu, Melawati berkata 97.9% pemilik perniagaan yang ditemuramah dalam kaji selidik itu bersetuju pengharaman plastik penggunaan tunggal akan mengurangkan sisa buangan dihantar ke tapak pelupusan dan menjadikan Pulau Pinang lebih bersih.

Tetapi 75.4% pemilik perniagaan, yang kebanyakannya menyediakan pelanggan dengan plastik guna tunggal seperti beg dan straw, cenderung kepada pilihan ini kerana barangan itu mudah dibuang, tidak memerlukan pembersihan dan boleh dibeli dengan mudah.

Melawati berkata 59.7% daripada pemilik perniagaan menyokong larangan penggunaan plastik tunggal seperti straw, cawan, mangkuk, pinggan, penutup, sudu dan garfu di hotel dan kedai makanan di Pulau Pinang.

Beliau berkata 54.1% berkata mereka kemungkinan besar atau mungkin akan mengenakan caj kepada pelanggan bagi setiap barang plastik yang diminta di premis mereka, dan memperkenalkan diskaun kepada pelanggan yang menggunakan bekas, straw dan atau botol air sendiri.

Sementara itu, 59.8% berkata mereka bersedia menyediakan kemudahan isian semula air bagi mereka yang menggunakan botol air sendiri, tetapi hanya 48% akan menggantikan barangan plastik dengan alternatif yang boleh diguna semula di premis mereka. – 14 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan