Iklan

Dinamik politik Sabah boleh terjejas dengan kehadiran Bersatu

Jason Santos6 years ago16th Feb 2019Berita
Tqaru17
Bersatu mengesahkan mereka akan masuk Sabah, menimbulkan kebimbangan Warisan yang landskap politik negeri itu boleh terjejas dengan kehadiran parti berasal Semenanjung dan merosakkan kerjasama politik sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2019.
Iklan

KEBIMBANGAN utama akar umbi Warisan akhirnya jadi kenyataan bila Bersatu dilaporkan akan masuk Sabah, yang boleh menggugat pakatan antara parti pemerintah sedia ada.

Ahli akar umbi yang tidak mahu dinamakan memberitahu The Malaysian Insight, ramai antara mereka yang “bengang” dengan keputusan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Mereka juga marah dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad kerana langgar janji untuk tidak menubuhkan parti itu di negeri Bawah Bayu itu.

“Tindakan itu boleh menyaksikan Warisan menilai semula kerjasama dengan Pakatan Harapan dan jika situasi tidak terkawal, kemasukan Bersatu boleh dilihat cubaan untuk meningkatkan jumlah wakil rakyatnya,” kata sumber Warisan Sepanggar.

Kerajaan Sabah pada masa sekarang ditadbir oleh pakatan antara Warisan, Organisasi Bersatu Pasok Momogun KadazanDusun Murut (Upko) dan PH Sabah- Bersatu tidak terlibat dalam pakatan di negeri itu sehingga sekarang.

Dr Mahathir menghentikan semua spekulasi tentang kemasukan Bersatu ke Sabah semalam apabila mengumumkan parti diasasnya itu akan menubuhkan cawangan negeri itu.

Katanya, ia tidak bermaksud untuk mencabar kerajaan diterajui Warisan bawah pimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal, tetapi untuk mengukuhkannya.

Bersatu Sabah akan menyasarkan wakil rakyat yang sudah keluar Umno Sabah tahun lepas untuk jadi wakil rakyat Bebas. Ini termasuklah lima ahli Parlimen dan lapan Adun yang keluar beramai-ramai diterajui bekas ketua Umno Sabah Hajiji Mohd Noor.

Hajiji yang merupakan Adun Sulaman, sudahpun berikrar setia kepada blok pembangkang negeri, Gabungan Bersatu Sabah (GBS), yang terdiri daripada gabungan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). 

GBS mempunyai sembilan Adun.

Shafie Apdal yang menubuhkan Warisan di Sabah, diheret ke mahkamah sebelum PRU14 dan berjaya menewaskan Barisan Nasional di Sabah kini berdepan cabaran tak terjangka- Bersatu yang mahu masuk negeri itu selepas berjanji tidak buat begitu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2019.

Dengan kemasukan Bersatu, parti itu serta merta mempunyai lapan wakil dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dan lima ahli Parlimen dari negeri itu.

Sumber Warisan berkata mereka bimbang Bersatu Sabah boleh mempengaruhi rakan PH lain di negeri itu, iaitu PKR (tiga Adun) dan DAP (tujuh) untuk bergabung tenaga dengan GBS dan membentuk blok lebih kuat dengan 27 Adun.

Warisan kini mempunyai 30 kerusi DUN dan rakannya, Upko memegang lima kerusi DUN.

“Walaupun Warisan masih ada majoriti terbesar, kebimbangan sekarang adalah Bersatu parti popular dan kita semua tahu, Sabah ada ramai ahli politik yang suka lompat parti,” kata sumber Warisan.

“Ada juga wakil rakyat dalam Warisan yang kita bimbang mudah terpengaruh dengan Dr Mahathir, memandangkan kekuatan parti itu (Bersatu) dan kedudukannya dalam PH sekarang.”

Michael Johnny, seorang penyokong Warisan, berkata situasi semasa mengingatkannya pada 1990 apabila Umno mula masuk Sabah, dan pada 1994 apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menang pilihan raya negeri menyaksikan ramai wakil rakyatnya lompat masuk Umno, menyebabkan Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri.

Johnyy menyalahkan Dr Mahathir kerana kejadian itu.

“Inilah sebab kerajaan PBS runtuh selepas pilihan raya 1994 dan kita semua tahu Dr Mahathir adalah dalangnya.

“Jika beliau dalang dahulu, beliau masih boleh buat begitu sekarang dengan Warisan,” katanya.

Katanya, satu-satunya harapan Warisan untuk terus memegang kuasa negeri adalah mendapatkan sokongan pemimpin parti yang menyokong perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 untuk mengembalikan semula hak Sabah selaku rakan setara Persekutuan Malaysia.

“Ini akan menguji pemimpin Sabah yang selalu bercakap tentang MA63 untuk faedah politik. Mereka akan memilih untuk berpakat dengan Warisan jika mereka serius atau ketepikan semuanya untuk sertai Bersatu,” katanya.

Difahamkan yang akar umbi Warisan menjangkakan presiden mereka, Shafie Apdal mengadakan himpunan membantah kemasukan Bersatu.

Sumber berkata pemimpin Warisan akan bertemu hujung minggu ini, sama ada di Tawau atau Kudat untuk membincangkan perkembangan terbaru ini. – 16 Februari, 2019.

Iklan
Iklan