Shafie masih berdiam, PKR, DAP Sabah tak puas hati
Iklan
PRESIDEN Warisan Shafie Apdal masih berdiam diri tentang tindakan seterusnya susulan sekutu Semenanjung, Bersatu mahu masuk Sabah.
Ketua menteri Sabah itu tidak memberikan sebarang petunjuk langkah seterusnya apabila diasak soalan wartawan pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Konsulat Jeneral Pejabat China di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Beliau enggan menjawab soalan berkaitan pengumuman Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad semalam tentang kemasukan Bersatu ke Sabah, walaupun sebelum ini berjanji tidak berbuat demikian.
Shafie hanya berkata: “Tak, cepat….masa akan datang (untuk buat pengumuman langkah Warisan.)”
Sumber mendedahkan yang Shafie sudah mengarahkan semua ketua bahagian untuk memberi penjelasan kepada akar umbi meminta mereka bertenang dalam kekecohan terbaru politik Sabah ini.
Akar umbi di Sepanggar dan Penampang memberitahu The Malaysian Insight yang mereka kini menunggu arahan presiden, dan meluahkan kemarahan kerana tindakan Bersatu itu.
“Senario terbutuk, kita boleh merancang mengadakan perarakan besar-besaran untuk membantah kemasukan Bersatu,” kata sumber yang bercakap atas dasar kerahsiaan itu.
Kebanyakan pemimpin Warisan yang dihubungi The Malaysian Insight juga masih berdiam diri tentang tindakan seterusnya bagi menyuarakan ketidakpuasan hati kepada Dr Mahathir dan Bersatu.
Seperti dibimbangi akar umbi Warisan, malam tadi, selepas pengumuman Dr Mahathir, Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee yang baharu keluar Umno berkata, hampir 100,000 orang daripada 25 kawasan Parlimen di Sabah sudah memohon untuk menyertai Bersatu.
“Kami menjangkakan lebih ramai akan menyertai Bersatu apabila parti itu mengembangkan sayapnya secara rasmi di negeri ini,” katanya.
Kemarahan PKR dan DAP Sabah
Warisan menerajui kerajaan negeri dalam pakatan yang turut melibatkan PH Sabah, yang sehingga sekarang masih belum disertai Bersatu.
Keputusan Bersatu semalam turut menimbulkan kemarahan PKR dan DAP Sabah.
Adun DAP Phoong Jin Zhe menggelarkan Bersatu sebagai “tikam belakang”.
Adun Luyang itu yang juga setiausaha publisiti Pemuda DAP pusat berkata beliau sudah menghubungi Ketua Pemuda DAP Howard Lee untuk menyuarakan ketidakpuasan hati tentang tindakan Bersatu di peringkat pusat.
“Ia tak hormat kepada pengundi Sabah yang mengundi kami pada PRU14,” katanya.
Phoong juga tidak gembira dengan cara Bersatu masuk ke Sabah dengan mengalu-alukan kemasukan “katak lompat parti”.
“Walaupun Bersatu ada hak untuk tubuhkan cawangannya di mana-mana di negara ini, tetapi jika ia menyerap ahli pembangkang untuk mengacau kestabilan politik Sabah, ia seperti tikam belakang sekutu politiknya di Sabah- Parti Warisan Sabah- dalam usaha menganggu kestabilan pakatan pemerintah sekarang dan mungkin mengheret Sabah ke dalam kekacauan politik,” katanya.
Adam Fistival Wilfrid daripada PKR Sabah juga mengecam keputusan Bersatu, bimbang ia akan mengancam autonomi pentadbiran dan politik negeri.
Beliau juga curiga dengan jaminan Bersatu yang kemasukannya ke Sabah tidak bertujuan mencabar kepimpinan kerajaan negeri pimpinan Shafie.
“Sebab Bersatu setuju wujudkan cawangan Sabah adalah (bermatlamat) untuk membolehkan bekas ahli Umno Sabah untuk sertai (Bersatu),” katanya yang juga ketua penerangan dan komunikasi PKR Sabah.
“Sebelum PRU14, PKR dan DAP Sabah diberikan autonomi penuh oleh kepimpinan pusat masing-masing, termasuklah pilihan calon dan kerusi bertanding.
“Autonomi ini masih kekal dan juga meliputi peranan kami sebagai sekutu dalam kerajaan Sabah. Kami tak mahu apa-apa campur tangan daripada mana-mana ahli politik atau parti politik Semenanjung Malaysia.
“Saya tegaskan yang (Bersatu) perlu hormat autonomi kami dalam pembentukan kerajaan Sabah. Ini terpakai terutamanya untuk kepimpinan Bersatu yang tidak terlibat dalam pentadbiran negeri ini,” katanya. – 16 Februari, 2019.