Iklan

Harapan Rakyat akan dibubar, sertai Bersatu di Sabah, kata Lajim 

Jason Santos6 years ago17th Feb 2019Berita
Lajim-2
Presiden Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin ketika bercakap kepada pemberita ketika sidang media yang diadakan di Kota Kinabalu, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 17 Februari, 2019.
Iklan

PARTI Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), yang diketuai bekas Adun Klias, Lajim Ukin, akan dibubarkan dan 64,000 ahlinya akan menyertai Bersatu yang akan memasuki Sabah.

Lajim memberitahu pemberita hari ini, satu mesyuarat luar biasa akan diadakan bagi memberi laluan kepada langkah itu.

“Kami hantar permohonan untuk menyertai Bersatu pada Julai 2018 dan bertemu Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad di Kota Bharu pada 10 November. Kami adakan pertemuan kali kedua dengan beliau di Putrajaya pada Disember, kata Lajim di ibu pejabat parti itu di Kapayan, Kota Kinabalu, hari ini.

“Kami sedia korbankan parti kerana kami tahu kami boleh menyumbang dengan lebih baik untuk membina negara dan membangunkan Sabah.”

Harapan Rakyat ditubuhkan pada Oktober 2016 sebagai parti untuk membolehkan Lajim bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Lajim dijangka akan selaraskan Bersatu dengan parti pemerintah Sabah, Parti Warisan Sabah, DAP Sabah dan PKR serta Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Menurutnya, beliau telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor, yang turut mengalukan Bersatu ke Sabah, dan bercakap mengenai rancangan untuk bekerjasama dengan pembangkang Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

GBS terdiri daripada Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Bersatu Sabah.

Lajim berkata, kemasukan Bersatu ke Sabah bukan untuk membangkang sebaliknya untuk perkukuhkan Warisan, dan juga Upko dan negeri Pakatan Harapan, sebagaimana yang dinyatakan Dr Mahathir.

“Selain itu, hala tujunya terpulang kepada siapa yang menjadi ketua Bersatu negeri,” katanya, dan menambah Harapan telah berkongsikan pandangan berhubung siapa yang akan mengambil jawatan itu dan ia terbuka kepada pilihan pimpinan Bersatu. – 17 Februari, 2019
 

Iklan
Iklan