Ijazah palsu dijual RM12,000 di Internet
Iklan
IJAZAH palsu yang jadi barang panas di Malaysia boleh diperoleh dengan harga serendah RM12,000 di Internet, dedah tinjauan The Malaysian Insight.
Sindiket menjual ijazah palsu ini beroperasi secara terbuka melalui beberapa laman web dan boleh ditemui dengan carian mudah di enjin Google dengan kata kunci “buy fake degree”.
Ijazah palsu yang terlihat tulen dengan meyakinkan, kononnya dari universiti tempatan, boleh dibeli dengan harga selepas diskaun RM12,000 manakala yang didakwa dari institusi pengajian tinggi yang berprestij dijual pada harga RM17,000.
Ijazah palsu dari luar negara lebih mahal, berharga sekurang-kurangnya RM20,000 dengan sesetengah laman web hanya menjualnya dalam mata wang dolar Amerika.
The Malaysian Insight membuat tinjauan itu susulan dakwaan beberapa menteri dan timbalan menteri memiliki ijazah palsu.
The Malaysian Insight juga mendapati kilang ijazah ini memberi jaminan sijil yang mereka keluarkan boleh lepas semakan di universiti berkenaan kerana harga sijil itu termasuk kononnya meminda rekod di institusi terlibat.
Walaupun sijil palsu ini mahal, ada keluarga yang membelinya agar anak mereka dapat meneruskan pengajian di luar negara.
Sijil palsu kosnya hanya separuh daripada bayaran yang diperlukan untuk dapat ijazah sebenar tanpa perlu belajar bertahun-tahun, satu tawaran menarik bagi pelajar yang keputusannya tidak begitu baik dan bagi mereka yang sudah ada pengalaman kerja tetapi tidak memiliki kelayakan akademik.
The Malaysian Insight berhubung dengan seorang lelaki yang mendakwa boleh menawarkan diploma dan ijazah untuk semua bidang pengajian.
“Bergantung mana satu yang kamu mahu, kami ada universiti tempatan dan luar negara. Untuk universiti antarabangsa, ia lebih murah kerana kami ada orang dalam dan lebih mudah (untuk dihasilkan),” katanya.
Bidang pengajian yang ditawarkan lelaki berkenaan termasuk kejuruteraan, komunikasi massa, perakaunan, perniagaan, sains komputer dan beberapa kursus lain.
Boleh tawar harga
Lelaki itu pada mulanya menawarkan diploma pada harga RM16,500 dan ijazah RM18,000 tetapi selepas tawar-menawar, beliau menurunkan harganya kepada RM17,000. Untuk diploma, bagaimanapun harga mati.
“Apabila saya jual (diploma) kepada kawan, harganya RM16,500. Dia kemudian bawa kawannya lagi untuk beli daripada saya selepas itu,” katanya.
Untuk meyakinkan penulis, lelaki itu berkata beliau sudah menjual sijil palsu kepada tiga pelanggan lain pada harga yang lebih mahal.
“Saya jual kepada lelaki ini pada harga tinggi kerana dia datang kepada saya melalui orang tengah dari Singapura. Kepada seorang wanita, beliau mahu ijazah untuk anak lelakinya menyambung pengajian di China. Saya jual RM19,000.
“Seorang lagi pelanggan wanita mahu surat sokongan dari universiti. Kami buat untuknya pada harga RM18,000,” katanya.
Apabila penulis menyatakan minat dengan diploma perniagaan dari sebuah universiti antarabangsa, lelaki itu mengirimkan gambar contoh beberapa ijazah dari beberapa universiti.
Tidak saja font, reka letak dan reka bentuk ijazah palsu itu hampir tidak dibezakan, sijilnya juga tertera tandatangan naib canselor dan pendaftar universiti, serta gred pelajar.
The Malaysian Insight juga menghubungi seorang lelaki lain yang menawarkan khidmat sama yang berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Beliau menjual diploma palsu dari universiti dalam dan luar negara.
Lelaki itu bagaimanapun lebih berhati-hati. Beliau bertanya bagaimana dapat tahu tentang perkhidmatannya. Setelah dimaklumkan melalui Internet, beliau memberikan butiran lanjut apa yang ditawarkannya.
Bagaimanapun beliau tetap ragu dan enggan mendedahkan banyak hal termasuk berapa banyak sijil yang boleh dibeli pada satu-satu masa.
Bayar deposit dulu
“Ijazah sarjana muda biasanya dijual AS$3,500 (lebih kurang RM14,000). Saya perlu awak bayar 50% untuk duit tempahan. Baki boleh bayar selepas dapat salinan digital atau selepas sahkan ijazah dengan universiti berkenaan. Selepas itu, saya akan hantar sijil yang betul,” katanya.
Selepas tawar-menawar, beliau setuju mengurangkan harga RM2,000. Katanya, ijazah komunikasi massa dari universiti swasta tempatan sekarang boleh dibeli pada harga RM12,000.
Ditanya berapa harganya untuk diploma dari Universiti Tasmania di Australia, beliau menjawab: “Kita boleh buat juga tetapi harganya AS$5,500.”
Lelaki itu juga menghantar gambar contoh, termasuk ijazah sarjana muda dalam sains komputer dari sebuah universiti antarabangsa dan ijazah sarjana muda dalam seni bina dari sebuah universiti lain.
Salah satu contoh itu mempunyai tanda cap Kementerian Luar Negeri, membayangkan sokongan kerajaan untuk meningkatkan lagi “ketulenannya”.
Menghasilkan sijil palsu itu mudah namun rekod universiti terlibat yang didakwa diselewengkan mengambil masa antara 15 hari dan sebulan.
Urus niaga jual beli sijil palsu ini hanya dijalankan secara pindahan wang dalam talian atau pindahan bank bagi mengelakkan pembeli bertemu muka dengan penjual. – 18 Februari, 2019.