Iklan

Shafie Apdal setuju Bersatu masuk Sabah

Jason Santos6 years ago18th Feb 2019Berita
Bersatu
Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal merayu kepada penyokong Warisan yang tidak gembira dengan tindakan Dr Mahathir Mohamad mahu membawa Bersatu masuk Sabah supaya bertenang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 18 Februari, 2019.
Iklan

TIADA halangan bagi Bersatu untuk membuka cawangan di Sabah, kata Mohd Shafie Apdal hari ini.

Presiden Warisan itu berkata parti akan terus memberi komitmen untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lepas.

“Berkenaan Bersatu masuk Sabah, kita tak boleh nak halang mereka, atau mana-mana parti. Undang-undang kita juga membenarkan parti-parti baru dibentuk.

“Bagaimanapun, kita amat jelas tentang pendirian dan hala tuju parti.

“Kita sudah bekerjasama dengan PH sebelum dan selepas pilihan raya, sama-sama bentuk kerajaan Persekutuan, dan kita akan terus bekerja dengan mereka demi kepentingan rakyat,” kata ketua menteri Sabah itu kepada pemberita ketika mengumumkan pendirian parti mengenai kemauskan Bersatu ke Sabah.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu mengumumkan untuk membuka cawangan parti itu di Sabah meskipun secara lisan telah bersetuju untuk tidak berbuat demikian.

Sementara itu, Shafie merayu kepada penyokong Warisan yang tidak gembira dengan tindakan Dr Mahathir yang mungkir janji itu supaya bertenang.

“Saya maklum perasaan penyokong kita dan rakyat Sabah mengenai keputusan Bersatu itu.

“Nasihat saya, kita jangan emosi dan terus fokus untuk bangunkan Sabah demi rakyat,” katanya.

Beliau juga menegaskan pentadbiran Warisan-PH-Upko telah diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU14 kerana majoriti rakyat Sabah sudah muak dengan pentadbiran Umno-BN dan mahukan perubahan.

Warisan sebagai parti yang memerintah katanya, akan terus menghormati mandat yang diberikan dan akan terus mentadbir Sabah dengan sebaik mungkin, terutamanya memastikan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dikembalikan. – 18 Februari, 2019.

Iklan
Iklan