Kesetiaan Bersatu di Sabah jadi persoalan
Iklan
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mungkin belum lagi menjejakkan kaki di Sabah, tetapi bumi di bawah bayu sudah kecoh dan ahli politik tempatan saling berdebat, parti itu akan berpihak pada siapa selepas penubuhannya di negeri itu nanti.
Walaupun cawangan Bersatu sepatutnya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) negeri seperti mana di semenanjung Malaysia, tetapi pemimpin Gabungan Bersatu Sabah (GBS) mendakwa parti itu akan berpihak kepada mereka sebagai pembangkang.
GBS pada masa ini terdiri daripada Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Bersatu Sabah, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan beberapa bekas pemimpin Umno Sabah, ditubuhkan tahun lalu bagi menggantikan Barisan Nasional di Sabah.
Bekas pemimpin Umno Sabah – sembilan Adun dan lima ahli Parlimen – keluar Umno pada 12 Disember lalu dan sudah memohon menyertai Bersatu.
Mereka diketuai oleh bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor. Beliau beberapa kali membuat kenyataan akan bekerjasama dengan GBS.
Timbalan Pengerusi GBS Jeffrey Kitingan berkata jika Hajiji yang juga timbalan pengerusi GBS mengetuai Bersatu Sabah, parti itu sudah tentu menjadi rakan kerjasama GBS.
“Mereka sudah pasti bekerjasama dengan kami jika rakan kami (bekas pemimpin Umno), yang kini tidak ada parti, menyertai Bersatu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Mereka rakan kerjasama kami sebelum ini dan akan terus menjadi rakan kongsi.”
Jeffrey, yang pernah beberapa kali mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamd, yang juga presiden Bersatu, nampaknya sudah berbaik dengan ahli Parlimen Langkawi itu dengan menerima Bersatu mengembangkan sayap ke Sabah.
Dr Mahathir ialah perdana menteri ketika Jeffrey ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1991.
Bagaimanapun, dalam satu gambar berkumpulan baru-baru ini menunjukkan beberapa pemimpin pembangkang Sabah berdiri bersama Dr Mahathir, membuktikan Jefffrey mungkin sudah berdamai dengan pemimpin berusia 93 tahun itu.
Ketika ditanya sama ada beliau boleh bekerja dengan Bersatu, Jeffrey berkata: “Kita akan lihat apa akan jadi dalam tempoh dua bulan akan datang.”
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal awal hari ini berkata beliau tidak akan membantah kemasukan Bersatu ke negeri itu, dan mengulangi kenyataannya bahawa partinya akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Kemasukan parti itu ke Sabah diumumkan pada Jumaat lalu oleh Dr Mahathirm yang berkata cawangan itu tidak akan membantah Warisan tetapi mengukuhkan parti pemerintah di negeri itu.
Parti pemerintah di Sabah pada masa ini ialah Warisan, DAP, PKR dan Pertubuhan Bersatu Pasok Momogun KadazanDusun Murut.
Difahamkan niat Dr Mahathir untuk membuka cawangan di Sabah bertujuan untuk menambah jumlah wakil rakyat Bersatu dan melihat Hajiji dan kumpulannya dapat merealisasikannya.
Setakat ini, Bersatu tidak menamakan siapa akan mengetuai cawangan Sabah tetapi berkata ketua itu berasal dari Sabah.
Hajiji pada masa ini tidak dapat dihubungi kerana sedang menunaikan ibadat umrah dan dijadualkan pulang selepas 23 Februari.
Bekas pemimpin Umno, Masidi Manjun berkata semua wakil rakyat bebas akan hanya mengeluarkan kenyataan selepas mereka mengadakan mesyuarat.
Sementara itu, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) Lajim Ukin berkata cawangan Bersatu tidak akan berlaga dengan parti-parti pemerintah Sabah.
Semalam, Lajim berkata beliau bersedia untuk membubarkan partinya dan membawa 64,000 ahli Harapan berpindah ke Bersatu.
“Kami akan selaraskan Bersatu dengan Warisan. Tidak ada pertikaian tentangnya bahawa kemasukan Bersatu ke Sabah untuk mengukuhkan parti pemerintah.
“Bukan untuk jadi musuh dan melemahkan PH di negeri ini,” kata Lajim.
Bekas ketua pembangkang Sabah itu berkata Shafie mungkin pemimpin berpengalaman, tetapi Kabinetnya penuh dengan menteri yang tidak ada pengalaman, dan oleh itu beliau memerlukan pemimpin berpengalaman yang kini akan menjadi sebahagian daripada Bersatu. – 19 Februari, 2019.