Iklan

Walau dibelit kontroversi, hakim kanan mahu terus berkhidmat

The Malaysian Insight6 years ago19th Feb 2019Berita
Hamid sultan backer 140219  full
Afidavit yang dibuat Hamid Sultan Abu Backer menggemparkan institusi kehakiman negara kerana ia melibatkan salah laku beberapa hakim kanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2019.
Iklan

HAKIM-hakim kanan negara masih berharap agar pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dapat melanjutkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun walaupun kini institusi tersebut dilanda dakwaan salah laku.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa para hakim berharap mendapat sokongan Menteri Undang-undang V.K. Liew bagi cadangan itu.

Liew tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen daripada beliau namun memandangkan tindakan salah laku itu dibangkitkan yang melibatkan beberapa individu, sukar untuk membayangkan kerajaan akan menyokong sebarang cadangan bagi melanjutkan umur persaraan hakim dari 66 kepada 70 tahun.

Minggu lalu, hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer telah membuat  badan kehakiman dilanda kontroversi apabila menyerahkan afidavit mendakwa beberapa orang hakim kanan telah melakukan salah laku kehakiman, dengan menetapkan beberapa kes dan menipu kerajaan.

Walaupun sebahagian besar dakwaan itu seolah-olah mensasarkan bekas Ketua Hakim Negara Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Makinuddin, beliau menjelaskan bahawa hakim-hakim kanan ketika ini juga turut bersalah menginjak-injak Perlembagaan atau duduk diam ketika salah laku berlaku.

Afidavit itu dibuat bagi menyokong permohonan oleh peguam Sangeet Kaur Deo yang menuntut pengisytiharan bahawa Ketua Hakim Richard Malanjum gagal dalam tugasnya bagi menyelesaikan penyiasatan berhubung dua kes gangguan kehakiman.

Gesaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja daripada gerakan masyarakat sivil dan ahli politik Pakatan Harapan semakin giat disuarakan berikutan dakwaan yang dilakukan Hamid.

Dalam afidavitnya, Hamid juga menyatakan bahawa hakim-hakim kanan telah berbincang dengan kerajaan terdahulu mengenai kemungkinan menaikkan umur persaraan bagi hakim dari usia 66 hingga 70 tahun. Perbincangan ini, katanya, melanggar konsep pemisahan kuasa yang bermula ketika Najib Razak adalah perdana menteri.

Hamid berkata beliau diberitahu bahawa kabinet pentadbiran sebelum ini menyokong cadangan untuk menaikkan umur persaraan hakim tetapi tidak dapat mengumpulkan dua pertiga sokongan di Parlimen bagi meminda Perlembagaan.

Berikutan dakwaan salah laku institusi kehakiman tersebut, sebarang tindakan untuk menggesa kerajaan Mahathir melanjutkan umur persaraan hakim mungkin tidak akan berjaya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, penyokong meningkatkan umur persaraan para hakim mendakwa bahawa mereka yang berada di jawatan kanan memerlukan lebih banyak masa untuk merangka rancangan pembaharuan kehakiman.

Tetapi afidavit Hamid telah menimbulkan persoalan serius mengenai kewibawaan berhubung pembaharuan yang mahu dilaksanakan para hakim kanan.

Malanjum dijadual akan bersara pada April manakala Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop akan melengkapkan tempoh khidmatnya pada bulan Mei depan. – 19 Februari, 2019.

Iklan
Iklan