Iklan

Kemasukan Bersatu halangan bagi pembangkang Sabah

Jason Santos6 years ago19th Feb 2019Berita
Iklan

RANCANGAN pemimpin pembangkang di Sabah untuk membentuk pakatan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) kini tergendala apabila Bersatu masuk ke negeri itu.

Kemasukan Bersatu meninggalkan tanda tanya sama ada pembangkang Sabah, yang dahulunya bersama Umno Sabah, akan menyertai parti itu, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili.

PBS adalah salah satu parti dalam GBS.

“Seperti mana yang kita semua tahu, Bersatu adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan.

“Masih belum jelas sama ada rakan bekas Umno kami akan sertai GBS. Apabila GBS dicadangkan, dan ketika kami tandatangani dokumen untuk membentuknya (GBS), mereka masih lagi bersama Umno.

“Memandangkan mereka semua sudah keluar dari Umno, status mereka masih belum jelas,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis sambutan Chap Goh Mei di Penampang hari ini.

Ongkili mengakui GBS masih sebuah pakatan pembangkang yang longgar dan bukan sebuah entiti berdaftar.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata PBS akan terus bekerjasama dengan sekutu pembangkang, Parti Solidariti Tanah Airku yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan. 

“Kami akan bergerak sendirian dan pada ketika ini kami tidak dipimpin oleh GBS,” katanya.

Berkenaan kegagalan Warisan menghalang Bersatu masuk ke Sabah, Ongkili berkata tiada apa yang dapat dilakukan sekiranya sebuah parti membuka cawangan di negeri itu.

PBS juga tidak dapat menghalang Umno masuk ke Sabah pada 1990-an selepas Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dibubarkan. – 19 Februari, 2019.

Iklan
Iklan