Najib mengaku gagal urus ekonomi negara, kata pemimpin Pakatan
Iklan
KENYATAAN Perdana Menteri Najib Razak negara tidak berfungsi tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan pengakuan beliau gagal menguruskan ekonomi negara, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, kemerosotan ekonomi Malaysia hari ini berpunca daripada kegagalan Najib menguruskan kewangan.
“Terima kasih kepada Najib kerana mengaku sebenarnya ekonomi negara dah hampir nak hancur dan hanya diselamatkan oleh GST,” kata Khalid pada sidang media di Wisma Amanah di Kuala Lumpur hari ini.
“Bila dia umumkan GST merupakan penyelamat kepada ekonomi negara ini bererti bahawa sebenarnya ekonomi dah teruk dan formula untuk nak selamatkan ialah dengan GST iaitu dengan mencukai rakyat.”
Semalam Najib berkata Putrajaya tidak akan berfungsi tanpa GST di mana ia cuba dihapuskan pembangkang sekiranya memenangi Putrajaya pada pilihan raya akan datang.
Bercakap pada program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama wanita sempena Hari Wanita Kebangsaan di Berjaya Times Square semalam, Najib berkata GST merupakan sumber pendapatan negara dan tanpanya banyak program yang dicadangkan orang ramai tidak dapat dilaksanakan.
Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, kerajaan seharusnya mencari formula lain untuk menjana pendapatan negara seperti menambahkan pengeluaran dan kecekapan.
“Formula yang ada pada Najib bila ekonomi sudah dirosakkan oleh pentadbirannya ialah mencukai rakyat.
“Ini bukan satu pendekatan yang bertanggungjawab. Pakatan Harapan kita ada kaedah yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin berkata, kenyataan Najib mengenai GST ketika sambutan Hari Wanita Kebangsaan semalam merupakan penghinaan kepada golongan wanita.
“Perdana menteri kata kerana GST baru ada program wanita, saya rasa ini satu kenyataan yang menghina golongan wanita.
“Sebenarnya wanita dimangsakan dengan pengenalan GST kerana mereka terpaksa membeli barang untuk keluarga,” katanya yang juga ahli Parlimen Bayan Baru pada sidang media berkenaan.
Menurut Sim, dengan gaji dan elaun yang tidak meningkat, sudah pasti GST menambahkan beban hidup golongan wanita.
“Gaji suami pun sudah begitu sedikit, sekarang dimangsakan lagi dengan GST.”
Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, GST terpaksa dilaksanakan kerana kegagalan pengurusan pentadbiran kewangan Najib.
“Ini dapat dilihat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga Felda akhir-akhir ini.
“Bagi pihak Pakatan Harapan saya ingin ulangi kita akan mansuhkan GST sekiranya berjaya mengambil alih negara,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu. – 5 September, 2017.