Iklan

Najib kini popular kerana orang Melayu pemaaf, kata penganalisis

The Malaysian Insight6 years ago24th Feb 2019Berita
Malu apa bossku 20190110
Najib tiba-tiba menjadi selebriti politik selepas teruk diserang berhubung skandal rasuah, pecah amanah yang melibatkan dana awam berbilion ringgit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2019.
Iklan

KEMPEN “Malu Apa Bossku” Najib Razak dapat sambutan hangat kerana sikap orang Melayu mudah memaafkan pemimpin yang mahu berubah, kata penganalisis politik.

Bekas perdana menteri itu juga mengangkat isu-isu yang dekat dengan rakyat dalam kempen yang berpusat pada personalitinya, sehingga menenggelamkan naratif kerajaan yang memburukkan beliau dan pentadbirannya yang dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan, kata mereka.

“Psiki orang Melayu sentiasa memaafkan, mudah melupakan dan memberikan peluang sekiranya ada watak politik menunjukkan mahu berubah,” kata pensyarah di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Beliau yang mengkaji politik dan budaya Melayu berkata, sikap orang Melayu terhadap Najib sekarang sama seperti sikap mereka dengan Dr Mahathir Mohamad semasa beliau mengetuai kempen Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri 22 tahun dulu, ada pelbagai label dan persepsi terhadap beliau. Malah pada suatu ketika orang Melayu prejudis dan menolak beliau. 

“Namun Melayu seolah-olah melupakan, memaafkan dan memberikan peluang kepada beliau untuk jadi perdana menteri kali kedua,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, beberapa skandal yang berlaku semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri antara 1981 dan 2013 itu bukan saja dimaafkan tetapi dilupai, merujuk antaranya skandal pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan kerugian syarikat Perwaja Steel.

“Bukan sahaja Melayu, malah rakyat Malaysia berdiam diri,” katanya.

Apologetik

Pensyarah politik Badrul A Rahman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan sikap orang Melayu yang apologetik merugikan lagi kerajaan yang sehingga sekarang, hampir 10 bulan selepas PRU14, dilihat hanya mahu menghukum Najib.

“Mereka kurang peduli tentang soal demokrasi, ketelusan dan sebagainya. Apa yang mustahak soal kehidupan seharian. Hal-hal yang ada nilai sejagat mereka kurang peduli, berbanding soal periuk nasi,” katanya.

“Orang bosan melihat kerajaan lebih sibuk hendak menghukum Najib dan tidak dilihat mengutamakan keperluan rakyat,” tambahnya, merujuk pada siasatan dan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu dan pentadbirannya.

Bekas perdana menteri Najib Razak menyampaikan ucapan selepas solat Jumaat di Masjid UKM, Bangi, baru-baru ini. Hampir setiap hari beliau berkempen di PRK Semenyih. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Februari, 2019.

Najib kini berdepan lebih 40 kes di mahkamah melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Sejak pertengahan Januari lalu, Najib mengadakan beberapa program santai bersama rakyat dengan slogan “Malu Apa Bossku”, yang sekali lagi mengetengahkan beliau sebagai pusat perhatian dan bukannya Umno atau Barisan Nasional.

Semasa jadi perdana menteri, Najib bergerak dengan slogan “I Love PM” yang juga tidak menonjolkan parti sebaliknya lebih menampilkan beliau secara peribadi.

“Beliau mahu jadikan politik personaliti sebagai kekuatannya, terutama kerana beliau berasal dari golongan elit bangsawan politik,” jelas Awang Azman.

“Politik personaliti memberikan kesan mengangkat populariti individu, namun kurang berkesan kepada parti,” tambahnya.

Dulu I Love PM, sekarang Malu Apa Bossku

Penganalisis politik dan perundangan Prof Dr Abdul Halim Sidek melihat ada perbezaan ketara pada Najib, dengan melihat slogan “I Love PM” dulu dan “Malu Apa Bossku” yang menjadi kempen politiknya sekarang.

“Slogan ‘Malu Apa Bossku’ dicipta oleh rakyat, bukan Najib. Rakyat menerima slogan ini kerana merasakan ia relevan.

“Slogan ‘I Love PM’ dulu Najib paksa rakyat untuk sayang dia. Sudah tentu ramai yang menyampah.

“Inilah perbezaan paling ketara sebelum dan selepas PRU,” katanya.

Slogan I Love PM dulu menyebabkan rakyat menyampah pada Najib Razak tetapi dengan Malu Apa Bossku, rakyat menerimanya kerana merasakan ia relevan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2019.

Halim berkata apa yang Najib buat sekarang boleh dilihat sebagai usaha mendekati kelompok sasaran untuk memahami keperluan mereka dan melibatkan mereka untuk mencapai apa yang mereka mahu, yang selama ini jarang beliau lakukan.

“Tetapi sekarang Najib turun sendiri berjumpa dengan akar umbi. Beliau membuka ruang kepada rakyat dan rakyat berhubung secara terus tanpa melalui perantara, dan rakyat beritahu apa yang mereka mahukan kepada Najib,” katanya.

Badrul yang meneliti peranan media sosial dalam pilihan raya berkata slogan Malu Apa Bossku terasa lebih dekat dengan rakyat berbanding I Love PM dahulu.

“‘I Love PM’ itu nampak narsistik, untuk diri sendiri. Tetapi slogan ‘Malu Apa Bossku’ juga digunakan rakyat biasa, menggambarkan penghargaan kepada rakyat. Boss itu ialah rakyat,” katanya.

Rosmah di mana?

Awang Azman turut menarik perhatian kempen penjenamaan semula Najib sekarang langsung tidak melibatkan isterinya Rosmah Mansor. 

“Beliau sedar persepsi politik yang menganggap Rosmah liabiliti dalam karier politiknya,” katanya, yang juga ketua Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCedel).

Halim yang pernah menganggotai Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) pula melihat ketiadaan Rosmah dalam kempen baru politik Najib baik untuk imej bekas perdana menteri itu.

“Imej Najib sebelum ini banyak tercemar dengan cerita-cerita mengenai isterinya. Rosmah di kambing hitam oleh pembangkang ketika itu,” katanya.

Rosmah juga sekarang berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah melibatkan dakwaan jenayah pengubahan wang haram, mengelak cukai serta rasuah berkaitan dengan projek solar hibrid bagi bekalan tenaga di sekolah di Sarawak.

Halim menjangkakan selepas kempen imej Najib sekarang berjaya, tidak mustahil rakyat nanti akan membongkar kehidupan ahli keluarga anggota kerajaan. – 24 Februari, 2019.

Iklan
Iklan