Umno akhirnya bertemu buku dengan ruas, kata penganalisis
Iklan
DENGAN khabar angin lebih banyak lagi pembelotan, Umno yang sudah sedia bermasalah akhirnya bertemu buku dengan ruas dengan parti serpihannya sendiri, Bersatu, kata penganalisis politik.
Menurut mereka, tidak seperti parti lain seperti Semangat 46 (S46) dan yang lebih baharu PKR, Bersatu yang diterajui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempunyai peluang besar untuk menggantikan Umno sebagai parti utama orang Melayu.
“Ia diterajui oleh perdana menteri dan bekas presiden Umno yang masih mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan rakyat Malaysia. Berbeza dengan S46 yang hanya diterajui oleh bekas menteri dan bendahari Umno,” kata pensyarah sains politik Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang menerajui parti pecahan Umno pada 1988 itu.
“Bersatu sudah mendapat kuasa di peringkat persekutuan dan negeri, membolehkan ia menggunakan kuasa penyandang jawatannya, berbeza dengan S46 yang tidak pernah mendapat kuasa.”
Selepas berlaku pembelotan daripada Umno, Bersatu kini mempunyai 22 ahli Parlimen (13 menang semasa Pilihan Raya Umum ke-14) dan 29 kerusi negeri.
Terkini, tujuh ahli Parlimen Umno keluar parti dan diterima oleh Bersatu pada awal bulan ini selepas menjadi ahli Parlimen bebas beberapa ketika.
Pada masa ini Bersatu juga adalah kerajaan negeri di Kedah, Perak dan Johor.
Selain Bersatu dan PKR, yang dibentuk oleh Anwar Ibrahim selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, Umno melihat banyak parti serpihan datang dan pergi dengan sedikit kejayaan.
Antara perpecahan awal ialah pengasas Umno, Onn Jaafar yang menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu (IMP) pada 1951, diikuti bekas menteri pertanian Aziz Ishak yang menubuhkan Parti Perhimpunan Kebangsaan pada 1963.
Kedua-duanya gagal dan dibubarkan selepas beberapa tahun gagal menang dalam mana-mana pilihan raya.
Walaupun S46 mempunyai beberapa kejayaan jangka pendek, paling penting dalam memenangi lapan kerusi persekutuan pada pilihan raya 1990, pemimpin asal seperti Ibrahim Ali dan Dr Rais Yatim tidak dapat mempertahankan momentum dan parti itu harus dibubarkan pada 1995.
Bagaimanapun, Bersatu menikmati keadaan yang sangat berbeza dan positif, kata Kamarul.
“Bersatu dibantu oleh parti pembangkang yang sangat kuat seperti DAP dan PKR parti lain yang lebih bertenaga berbanding S46.
“Sejak bermula pada 2016, Bersatu telah melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan S46,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Daripada bergantung pada segelintir bekas pemimpin Umno, Bersatu juga mempunyai keahlian yang lebih pelbagai termasuk intelektual, kata Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Apa yang menjadikan Bersatu berbeza dengan parti pecahan lain adalah asas ideologi yang digunakannya; sebuah parti Melayu tetapi bukannya yang melihat ke dalam.
“Para intelektual yang menyertai Bersatu adalah mereka yang mampu memberikan makna kepada orang Melayu baharu di dunia baharu,” katanya.
Beliau berkata Bersatu ditubuhkan sebagai alternatif kepada Umno yang dilihat telah menyimpang daripada perjuangan asalnya, sambil menambah ia telah memberi tumpuan untuk meyakinkan orang Melayu bahawa hak-hak mereka akan terus dilindungi.
“Walaupun ia merupakan parti serpihan, Bersatu masih tetap berpegang kepada model konsosiasionalisme yang menjadi identiti Barisan Nasional,” kata Tunku Mohar, merujuk kepada perkiraan pembahagian kuasa antara anggota gabungan Pakatan Harapan dengan ideologi yang berbeza.
Dengan lebih banyak pembelotan, Tunku Mohar berkata Umno akhirnya bertemu buku dengan ruas dengan Bersatu.
“Kekuatannya masih terlalu awal untuk diramalkan, tetapi dengan kuasa yang dipegangnya di beberapa negeri, dan gabungan kuat, masa depan tidak kelihatan suram,” katanya. – 27 Februari, 2019