60 tahun merdeka, kerajaan masih tidak serius perkasakan bahasa kebangsaan
Iklan
SELEPAS 60 tahun negara merdeka, kerajaan masih tidak serius untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, kata ahli bahasa.
Mereka berkata, walaupun sudah terdapat akta atau peruntukan undang-undang yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dari segi pelaksanaannya, ia masih belum benar-benar berlaku.
“Ada pihak yang tidak menghormati akta yang mereka cipta.
“Ini fenomena yang sedang berlaku, ada perlembagaan tetapi orang tak hormat Perlembagaan, seperti 152,” kata Ketua Satu Gapena Zainal Abidin Borhan pada sidang media selepas wacana cendekiawan bertajuk “60 Tahun Merdeka: Bahasa Melayu – Aper Benda Lagi Tuw?” di UKM, Bangi hari ini.
Zainal merujuk kepada perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang memperuntukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Katanya, penegasan dalam melaksanakan dasar-dasar yang sedia adalah penting bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.
“Bukan sahaja penegasan, orang yang nak menegaskan perlu insaf tentang pentingnya sebuah negara memiliki sebuah identiti berdasarkan bahasanya.
“Kita boleh bercakap tentang perpaduan negara tetapi perpaduan yang paling pokok ialah penguasaan bahasa,” katanya.
Zainal berkata, pemimpin negara pada hari ini tidak mempunyai keseriusan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai penyatu.
“Lebih banyak berdegar-degar sahaja. Tetapi keseriusan dalam melaksanakan dasar bahasa seperti termaktub dalam Perlembagaan dan termaktub dalam akta bahasa itu kurang,” katanya.
Katanya, ini dapat dibuktikan apabila terdapat seorang menteri yang mencadangkan sekolah perintis bahasa Inggeris diadakan di Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan pada April mencadangkan agar sekolah beraliran bahasa Inggeris diwujudkan semula di Sabah.
Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan turut mempunyai pandangan selari dengan Zainal.
“Kalau kita melihat kemerdekaan hanya dari sudut politik dan ekonomi ertinya kita belum betul-betul merdeka.
“Dan ini perlu dinilai semula dalam konteks Dasar Bahasa, Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai contoh,” katanya.
Awang berkata, selepas 60 tahun merdeka daripada penilaiannya dan ahli bahasa lain, kedudukan bahasa kebangsaan masih lagi terumbang ambing.
“Ada ketika pasang, ada peningkatan ada ketikanya surut kerana tidak konsistennya kita dalam melaksanakan.
“Tetapi sudah jelas ada perkara 152 dalam Perlembagaan tentang bahasa kebangsaan,” kata Awang pada sidang media sama. – 6 September, 2017.