Iklan

Orang Melayu sendiri gagalkan bahasa kebangsaan

Amin Iskandar7 years ago6th Sep 2017Berita
Forum awang sariyan 060917 tmiseth 10
Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Awang Sariyan berkata orang Melayu merosakkan bahasa apabila menggunakannya untuk menista, memfitnah dan merosakkan hubungan pada sidang media selepas Wacana Cendekiawan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 September, 2017.
Iklan

KEGAGALAN bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penyatu walaupun negara sudah merdeka selama 60 tahun berpunca kerana orang Melayu sendiri, kata bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.

Awang berkata, walaupun dari segi dasar dan undang-undang sudah jelas mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, masalah utamanya ialah bagaimana ia diterjemahkan dalam pelaksanaan.

“Orang Melayu sendiri pun, apabila berjumpa orang bukan Melayu, terus berubah bahasanya.

How are you Mr Lim? Terus berbahasa Inggeris. How are you Mr Raja? Dan dia tak gunakan encik pun, dia guna Mr.

“Seolah-olah orang Cina dan India ini bukan orang Malaysia,” kata Awang semasa berucap dalam program Wacana Cendekiawan bertajuk “60 Tahun Merdeka: Bahasa Melayu – Aper Benda Lagi Tuw?” di UKM, Bangi hari ini.

Awang berkata keadaan ini berlaku ketika semua rakyat Malaysia sedar dan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Padahal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini terpakai kepada seluruh pemegang Mykad dan Mykid.

“Siapa pemegang Mykad dan Mykid, itulah pemilik bahasa Melayu. Ini kritik terhadap orang Melayu sendiri,” katanya.

Awang berkata, orang Melayu sendiri merosakkan bahasa kebangsaan apabila menggunakannya untuk menista, memfitnah dan merosakkan hubungan.

“Maka jelas bahasa Melayu belum lagi menjadi bahasa perpaduan.

“Kalau di Parlimen yang dikatakan dewan yang suci itupun dikeluarkan dan dihamburkan bahasa yang kesat, yang tidak bersopan, yang tidak bersantun, maka kita bayangkanlah di luar Parlimen, apatah lagi,” katanya. – 6 September, 2017.

Iklan
Iklan