Iklan

Dr Mahathir runtuhkan Dasar Bahasa dan Pendidikan Kebangsaan, kata ahli bahasa

Amin Iskandar7 years ago6th Sep 2017Berita
Forum zainal abidin borhan 060917 tmiseth 05
Ketua Satu Gapena Zainal Abidin Borhan berkata, apabila PPSMI diperkenalkan ia mendatangkan kesan kepada kemelut yang dihadapi sekarang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 September, 2017.
Iklan

BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab meruntuhkan Dasar Bahasa Kebangsaan apabila memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003.

Ketua Satu Gapena Zainal Abidin Borhan berkata, apabila PPSMI diperkenalkan ia mendatangkan kesan kepada kemelut yang dihadapi sekarang.

“PPSMI telah meruntuhkan Dasar Bahasa Kebangsaan, meruntuhkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan lahir muncul generasi yang cara berfikirnya dibentuk oleh PPSMI itu.

“Pengucapannya secara campuran itu segala-galanya dan generasi inilah yang berada di hadapan kita disambung pula dengan generasi yang baru bermula pada 2016.

“Lalu, satu perjuangan yang asasnya kepada kebangsaan, semangat kebangsaan nasionalisme Melayu runtuh, diruntuhkan oleh seseorang yang bernama Dr Mahathir Mohamad,” kata Zainal semasa berucap di Wacana Cendekiawan bertajuk 60 Tahun Merdeka: Bahasa Melayu - Aper Benda Lagi Tuw? di UKM, Bangi hari ini.

“Saya cakap ini bukan isu pilihan raya atau parti bunga, ya, atau parti lain,” katanya merujuk kepada parti Bersatu yang dipengerusikan Dr Mahathir.

Zainal berkata, selepas PPSMI dimansuhkan, Perdana Menteri Najib Razak pula memperkenalkan Dual Language Programme (DLP) yang lebih kurang sama seperti PPSMI.

“Dengan runtuhnya generasi ini, munculnya generasi baru, maka daya cipta dan daya saing bahasa Melayu menjadi masalah.

“Salah satu kejayaan besar bahasa Melayu pada zaman 70-an sehingga sebelum pelaksanaan PPSMI, tercipta istilah yang lebih sejuta,” katanya.

Katanya, ini bermakna daya cipta bahasa Melayu itu muncul dan melahirkan istilah yang turut digunakan dalam bidang sains dan bidang ilmu lain.

“Apabila wujud PPSMI, kendur. Maksudnya dalam analisis saya, mungkin saya salah. Kita boleh perdebatkan.

“PPSMI lah yang melenturkan dan menghancurkan daya cipta bahasa Melayu,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan pula mempersoalkan siapa yang mendapat mendapat “manfaat ekonomi” daripada pelaksanaan PPSMI.

“Ada perancangan tersirat (semasa melaksanakan PPSMI). Entah siapa yang mendapat laba, tentu ada.

“RM58 bilion wang dibelanjakan untuk PPSMI. Ke mana pergi wang itu? Ada alat yang tidak dapat digunakan di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman kerana tidak ada bekalan elektrik,” katanya.

PPSMI yang dimulakan pada 2003 dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 selepas bantahan dilakukan ahli bahasa, ahli politik dan budayawan.

Antara isu yang menjadi asas bantahan ialah kesukaran murid mengikuti pelajaran terutamanya di kawasan pedalaman. Para guru juga dikatakan sukar menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa perantaraan pelajaran yang menyebabkan prestasi murid terjejas.

Kemuncak bantahan ialah perarakan aktivis bahasa, seniman dan budayawan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009. – 6 September, 2017.

Iklan
Iklan