Bahasa Melayu masih jadi bahasa penyatu di Sabah, Sarawak
Iklan
BAHASA Melayu masih lagi menjadi bahasa penyatu dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Sabah dan Sarawak walaupun bahasa kebangsaan itu umumnya masih gagal jadi bahasa utama rakyat Malaysia, kata seorang ahli akademik.
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Faizal Musa berkata kontroversi penggunaan kalimah Allah di gereja beberapa tahun lalu antara bukti bagaimana bahasa Melayu jadi bahasa penyatu di Sabah dan Sarawak yang mempunyai puluhan etnik dengan bahasa masing-masing.
“Sebab itu mereka tuntut penggunaan bahasa Melayu dalam ritual di gereja,” katanya merujuk kepada larangan penggunaan kalimah Allah yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 dalam kes melibatkan akhbar mingguan The Herald yang diedarkan kepada penganut Kristian Katolik.
Perdana Menteri Najib Razak pada Oktober 2013, susulan keputusan Mahkamah Rayuan menyekat penggunaan kalimah Allah di gereja, menjelaskan larangan itu tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.
Putrajaya juga kemudian mengulangi komitmen mempertahankan ikrar 10 perkara berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible di Sabah dan Sarawak yang diputuskan oleh Kabinet pada April 2011.
Faizal yang juga penulis sastera yang prolifik dengan nama Faisal Tehrani, mengulas kenyataan penganalisis dari Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat yang berpendapat selepas 60 tahun merdeka sistem persekolahan negara masih bergelut soal bahasa, dan merumuskan “impian membina bangsa melalui persekolahan satu aliran iaitu Bahasa Melayu sudah terpadam”.
Katanya, bahasa Melayu sebenarnya masih jadi perantara golongan kelas bawahan di sekolah.
“Kita tidak boleh melupakan hakikat masih ada anak ahli masyarakat dari kalangan kelas rendah atau kelas pekerja yang ketinggalan, di mana bahasa pertuturan mereka bukanlah bahasa Inggeris.
“Malah untuk anak kelas pekerja daripada kalangan orang Cina dan India, bahasa Inggeris masih bahasa ketiga berbanding bahasa ibunda pertama, bahasa Melayu kedua dan bahasa Inggeris terakhir,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam pada itu, Faizal berpendapat jurang penduduk yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar turut mempengaruhi penggunaan bahasa di sekolah.
“Liberalisasi pendidikan akan menjadikan jurang ini tambah ketara,” katanya, merujuk pada kecenderungan kelas atasan menghantar anak ke sekolah swasta yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Faizal berkata pengaliran keluar pelajar bukan Melayu ke sekolah jenis kebangsaan dan swasta tidak harus dilihat sebagai alasan penolakan terhadap Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan atau kegagalan Bahasa Melayu jadi penyatu di sekolah.
“Kebangkitan suhu perkauman dan ‘keIslaman’ di sekolah turut mempengaruhi, yang mana perlu turut ditangani.
“Kelekatan bahasa Melayu dan Islam seperti dilihat pada isu kalimah Allah dan sastera Islam misalnya menjadikan bangsa bukan Melayu merasai rimas,” katanya.
Faizal sebaliknya berpendapat kegagalan bahasa Melayu menjadi penyatu rakyat di peringkat nasional ialah kerana ia tidak digunakan dengan serius.
“Misalnya, jika kita meninjau minggu orientasi di UKM yang merupakan hos Kongres Kebudayaan Kebangsaan 2017, penggunaan bahasa Inggeris sangat menonjol ketika minggu sambutan siswa baharu.
“Padahal UKM diasaskan antara lain untuk meluas dan mengukuhkan bahasa Melayu di pengajian tinggi,” katanya.
UKM, yang hari ini dilihat antara legasi Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak, ditubuhkan pada 1970 dengan matlamat khusus mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.
Sementara itu, Pengerusi Institut Kesedaran Rakyat Abdul Rahman Maidin berkata dasar pendidikan seharusnya mengisi aspek pembinaan masyarakat yang menjurus kepada gerakan membina kebangsaan.
“Makanya, soal daya saing, kecemerlangan, kebebasan berfikir secara kritikal dan kreatif, kemanusiaan, nilai universal, intelek, integrasi, kepelbagaian bahasa dan jati diri kebangsaan, harus menjadi landasan kepada dasar pendidikan negara.
“Harus ada pengkajian teliti yang memilih pendekatan terbaik dan pragmatik yang mempersiapkan anak Malaysia menghadapi cabaran dunia, bukan dengan emosi,” katanya.
Bekas pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) itu berpendapat sudah sampai masanya dasar pendidikan yang ada sekarang disemak semula secara menyeluruh kerana baginya, itu keperluan yang sangat mendesak untuk Malaysia sekarang. – 7 September, 2017.