Iklan

Mencari Malaysia yang hilang

Amin Iskandar7 years ago7th Sep 2017Berita
Zainoin ahmad merdeka story tminazirsufari 131
Pesara, Zainon Ahmad bercerita mengenai zaman persekolahannya di mana mereka tanpa mengira kaum duduk berjiran, meraikan hari kebesaran masing-masing, dan berkawan dari kecil hingga besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 September, 2017.
Iklan

Citra sebuah negara dilihat pada cerita-cerita rakyatnya. The Malaysian Insight bertemu dengan warga yang lahir pada 1957 dan sebaya dengan usia Malaya merdeka. Mereka berkongsi cerita untuk kita melihat apa maknanya jadi warga Malaysia.

PADA usianya sekarang yang sebaya dengan kemerdekaan negara, Zainon Ahmad masih tidak lupa suatu masa yang sudah terlalu jauh dia tinggalkan dalam hidupnya, zaman kanak-kanak yang indah – suka dan duka, ketawa dan menangis – bersama kawan-kawannya, anak semua bangsa.

Zainon, seorang pesara, lahir betul-betul seminggu sebelum Malaya merdeka di sebuah kampung di Muar, Johor. Ayahnya seorang tukang rumah, ibunya suri rumah sepenuh masa.

Persekitaran kampung yang didiami keluarga berbilang kaum dan agama meluaskan pengalamannya dan seterusnya mempengaruhi pemikiran dan kehidupannya sampai ke hari ini.

“Malaysia masa saya membesar dulu ‘best’. Kita orang Muar, kita campur dengan jiran semua termasuk orang Cina.

“Di sekolah saya campur dengan rakan-rakan, Cina dan India. Kebetulan di sekolah oleh sebab saya duduk dalam kelas terbaik, majoritinya budak Cina.

“Dalam kelas lebih kurang 70% Cina, 30% Melayu. Sebab itulah sampai sekarang, kawan-kawan saya kebanyakannya bukan Melayu,” kata Zainon dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight di rumahnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ayah dan ibunya juga tidak bimbang dia berkawan dengan anak semua bangsa, malah mereka menggalakkan termasuk menerima kunjungan dan membalas kunjungan pada hari kebesaran masing-masing.

“Jiran kami juga kebanyakannya orang Cina, sebab itu bila sambutan tahun baru Cina kami merayakannya bersama,” katanya.

Walaupun ayah dan ibunya “orang kampung” tetapi mereka menitikberatkan pendidikan dia dan 12 adik beradiknya, khususnya bahasa Inggeris.

“Ayah percaya dengan pendidikan Inggeris. Kita semua sekolah Inggeris, tak boleh sekolah Melayu.

“Dulu kita pagi ke sekolah agama, petang ke sekolah Inggeris. Kalau sekolah Inggeris sebelah pagi, petang kita ke sekolah agama,” katanya.

Zainon selesa bergaul dan berkawan tanpa mengira latar belakang kaum atau agama, dan itu terbawa-bawa sampai dia masuk universiti dan kemudiannya bekerja.

“Waktu saya di Universiti Malaya dulu, dalam kelas saya ramai kawan Cina. Rakan sebilik saya di kolej juga orang Cina,” katanya mengambil jurusan perakaunan antara 1977 hingga 1981.

Menantu bukan Melayu

Selepas habis universiti, Zainon diterima bekerja sebagai akauntan dengan Lembaga Padi dan Beras Negara. Dia lama bekerja di situ sehingga syarikat itu dikorporatkan menjadi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan kemudiannya sampai dia bersara pada awal tahun 2000.

Zainon yang mendirikan perkahwinan dengan Lokman Awang sejak 37 tahun lalu dikurniakan empat anak, dua daripadanya kini menetap di United Kingdom. Setiap tahun, dia dan suami akan menziarahi dua anaknya itu. Selain itu, dia menghabiskan umur persaraannya melakukan apa yang disukainya dan bermain dengan dua cucu yang sedang membesar.

Walau sibuk bekerja, Zainon akan selalu memastikan dia ada masa untuk anak-anak selepas waktu bekerja. Pendidikan dan hal ehwal anak, dia dan suami sendiri yang menguruskan.

“Pergaulan dengan kaum lain memberi saya banyak idea bagaimana mereka mendidik anak sehingga berjaya,” katanya.

Dia dan suami kini berbangga empat anak mereka sudah berjaya. Anak sulung pegawai pelaburan di sebuah bank manakala anak kedua dan ketiga bekerja sebagai doktor dan jurutera di United Kingdom. Anaknya yang bongsu pula masih menuntut di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

Kepada anak-anaknya, Zainon mengasuh cara melihat dunia yang sama, tidak beza-membeza manusia kerana kaum atau agama. Barangkali juga kerana keterbukaannya itu, ketiga-tiga menantunya tidak seorang pun Melayu.

“Mungkin sebab saya ini buta warna, sebab itu saya tak kisah,” katanya.

Zainon kini boleh menarik nafas lega dan gembira anak-anaknya berjaya. Tetapi dia sedih melihat Malaysia hari ini tidak lagi sama seperti yang pernah dikenalinya dulu.

“Orang sekarang benar-benar perkauman,” katanya, sambil berharap Malaysia yang hilang itu akan ditemukan semula.

“Saya tahu ia sukar dan akan mengambil masa yang lama.” – 7 September, 2017.

Iklan
Iklan