Iklan

Isteri CEO Cradle Fund, 2 anak, pembantu rumah dituduh membunuh

Cradle fund nazrin hassan murder court 05
Seorang daripada suspek kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Mac, 2019.
Iklan

ISTERI kepada allahyarham Nazrin Hassan, Samira Muzaffar bersama dua anak dan seorang pembantu rumah mereka dari Indonesia didakwa atas tuduhan membunuh CEO Cradle Fund Sdn Bhd itu.

Pembantu rumah tersebut, Eka Wahayu Lestari didakwa tanpa kehadirannya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Keempat-empat mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Mereka turut didakwa di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan maksimum lima sebatan.

Bagaimanapun tiada pengakuan dirakamkan dari ketiga-tiga tertuduh.

Majistret Tuan Muhammad Ikhwan Mohd Nasir membenarkan kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Beliau juga mengeluarkan perintah melarang identiti kedua-dua anak tiri Nazrin didedahkan kepada umum kerana mereka berdua masing-masing berusia 13 dan 16 tahun.

Peguam Samirah berkata wanita itu dibawa ke penjara Kajang manakala dua anaknya ditahan di sebuah pusat juvana.

Pasukan defendan diketuai oleh LS Leonard dan Mahinjit Singh, manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Jamin Aripin dan Mohd Zain Ibrahim.

Hadir sama dalam ke mahkamah adalah bapa Samirah, Chandra Muzaffar.

Menurut kertas pertuduhan, tiga beranak itu dan pembantu rumah mereka dituduh melakukan kesalahan tesebut antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun dan 4 pagi pada 14 Jun tahun lalu di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya.

Keputusan bedah siasatan pertama oleh pakar patologi Hospital Kuala Lumpur mendapati kematian Nazrin akibat kecederaan letupan telefon pintarnya yang dicaj bersebelahan katilnya.

Namun Jabatan Bomba dan Penyelamat menemukan kesan petrol di dalam bilik tidur allahyarham.

Polis kemudiannya mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh dan menyiasat beberapa ahli keluarga arwah.

Minggu lalu, bedah siasat kali kedua mendapati Nazrin meninggal dunia akibat beberapa kecederaan di bahagian kepala.

The Malaysian Insight turut difahamkan bahawa laporan bedah siasat kali kedua itu tidak menyebut mangsa maut ekoran kecederaan akibat letupan di bahagian kepala, seperti laporan bedah siasat pertama.  – 4 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan