Pelakon dan aktivis PKR 'Pak Jabit' meninggal dunia
Iklan
PELAKON dan aktivis PKR Man Kadir Samsi yang dikenali sebagai “Pak Jabit” meninggal dunia jam 7.10 pagi tadi.
Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Lanchang pagi tadi.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight.
“Ya beliau meninggal dunia pagi tadi. Anak beliau sudah sahkan,” kata Fahmi apabila dihubungi.
Beliau mendapat nama julukan Pak Jabit selepas memegang watak itu dalam filem-filem arahan Mamat Khalid antaranya “Zombie Kampung Pisang” dan “Hantu Kak Limah Balik Rumah”.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menzahirkan kesedihannya di Twitter.
“Sedih menerima khabar pemergian aktivis PKR Pahang, Man Kadir atau Pak Jabit.
“Saya mendoakan Almarhum mendapat husnul khatimah,” tulisnya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berkata pemergian pelakon dan aktivis itu merupakan kehilangan besar kepada partinya.
“Lagenda perfileman tanahair yang bukan sahaja tersendiri dalam jenakanya tetapi berdiri di atas keteguhan prinsip hadapi risiko komitment beliau terhadap PKR,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada The Malaysian Insight.
Antara filem lain yang dilakonkannya ialah Man Laksa (2006), Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2010) dan Zombi Kilang Biskut (2014).
Kesemua filem di atas merupakan arahan Mamat Khalid.
Beliau turut melibatkan diri dalam lakonan drama dan telefilem seperti Rombongan Che Kiah Ke Sukan Komanwel (1998), Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys (2000) dan Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya (2014).
Telefilem terakhir lakonannya yang meninggalkan kesan mendalam ialah “16 Puasa” juga arahan Mamat Khalid dan diterbitkan oleh Astro. – 7 September, 2017.