Harga minyak naik 10 minggu berturut, Pemuda Amanah anjur protes
Iklan
SELEPAS kenaikan harga minyak selama 10 minggu berturut-turut, Pemuda Amanah menganjurkan protes di seluruh negara bagi membantah kerajaan itu.
Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, ini membuktikan Putrajaya tidak mengambil kira keadaan semasa rakyat yang sudah sedia terbeban disebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Pemuda Amanah melahirkan rasa kesal terhadap sikap wewenang kerajaan yang terus menaikkan harga petrol untuk minggu ke-10 dalam tempoh 3 bulan, bermula 6 Julai lalu.
“Lantas rakyat diseru untuk lawan dan bersama-sama protes terhadap kenaikan kali ini, yang dijangka menambah buruk kesan domino terhadap kenaikan harga barang-barang keperluan harian yang sudah pun sedia mahal.
“Bersama-sama NGO dan gerakan sivil yang lain, Pemuda Amanah akan melancarkan protes di seluruh negara bagi menuntut agar harga semasa minyak diturunkan,” kata Shazni dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, protes ini akan dibuat serentak di seluruh negara pada hari Isnin, 11 September 2017.
“Waktu dan lokasi spesifik akan dikeluarkan oleh pimpinan Pemuda Amanah negeri-negeri.
“Kita mengharapkan agar masyarakat sentiasa prihatin terhadap kenaikan mingguan ini dan bersama-sama mendesak kerajaan kembali bertanggungjawab untuk mengembalikan subsidi sebagaimana yang telah dituntut ramai pihak,” katanya.
Semalam, harga petrol dan diesel naik lagi untuk minggu 7 hingga 13 September selepas turut naik pada minggu-minggu sebelumnya.
RON95 naik empat sen kepada RM2.20 per liter, RON97 juga naik empat sen kepada RM2.48 per liter.
Sementara diesel naik satu sen kepada RM2.05 per liter. Harga itu diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan setiap hari Rabu. – 7 September, 2017.