Iklan

Adun Tandek tinggalkan PBS sertai Warisan

Jason Santos6 years ago6th Mar 2019Berita
Tandek
Tindakan mengejut Baranting itu diambil selepas dua hari Adun Balung Osman Jamal yang keluar daripada Umno selepas pilihan raya 9 Mei tahun lalu bagi menyertai Warisan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2019.
Iklan

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek Anita Baranting telah menyertai Parti Warisan Sabah hari ini, selepas menjadi anggota Parti Bersatu Sabah (PBS) sejak penubuhan parti itu 34 tahun lalu.

Wakil rakyat yang dipilih selama dua penggal itu juga meletakkan jawatan sebagai ketua Wanita PBS dan Timbalan Ketua Perwakilan Bahagian Tandek, tindakan beliau itu diputuskan sehari selepas PBS menyambut ulang tahun yang ke-34.

Dengan penyertaannya ke dalam Warisan, parti itu kini mempunyai 30 wakil rakyat.

“Selepas pilihan raya 9 Mei, kami dapati perjuangan Warisan ikhlas. Saya tidak ada apa-apa untuk dikatakan mengenai parti lama saya.

“Saya membuat keputusan kerana Warisan adalah salah satu parti pemerintah dan kami mahu terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya mengumumkan kemasukannya ke dalam Warisan hari ini.

Tindakan mengejut Baranting itu diambil selepas dua hari Adun Balung Osman Jamal yang keluar daripada Umno selepas pilihan raya 9 Mei tahun lalu bagi menyertai Warisan.

Turut hadir untuk menerima keahlian Baranting, ialah Presiden Warisan merangkap Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal, Naib Presiden Warisan  Jaujan Sambokong dan Peter Anthony.

Beliau adalah wakil rakyat kesembilan daripada Barisan Nasional (BN) menyertai Warisan selepas beberapa Adun termasuk Tanjung Batu Hamisa Samat, Adun Sebatik Abdul Muis Picho, Tampasuk, Musbah Jamli, Kemabong Jamawi Jaafar, Balung, Osman Jamal, Kuamut, Masiung Banah dan Pitas, Bolkiah Ismail . – 6 Mac, 2019.

Iklan
Iklan